Bukti Kabinet Pimpinan Najib Waras, Tidak Gila Macam Di Selangor

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan "kewarasan" kabinet pimpinannya yang diterjemahkan melalui kedudukan terbaru Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2014-2015 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-20 daripada kalangan 144 buah negara.

Dalam perkembangan yang sangat "waras" itu, Malaysia turut mendahului negara dengan ekonomi maju seperti Australia, Austria, Perancis dan Korea Selatan.

Najib dengan "waras"nya menzahirkan rasa syukur beliau menerusi akaun laman sosial Twitter miliknya semalam.

"Alhamdulillah, kita merupakan negara ke-20 paling berdaya saing, kita melonjak empat anak tangga.

“Terima kasih atas semua kerjasama yang kita sudah lakukan,” katanya dalam tweet berkenaan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam mempersoal sama ada kabinet pimpinan Najib masih "waras" atau tidak untuk mentadbir negara.

Bapa Lim Guan Eng itu kononnya sangat bimbang dengan prestasi menteri-menteri kabinet pimpinan Perdana Menteri.

Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa Malaysia berada di kedudukan ke-24 daripada kalangan 148 negara pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain berkata, meskipun ini merupakan kedudukan terbaik Malaysia setakat ini, kerajaan akan terus mengukuhkan usaha dalam tunggak seperti persekitaran ekonomi makro, kecekapan pasaran buruh dan kesediaan teknologi.

“Persekitaran ekonomi makro mencatatkan penurunan enam tangga ke kedudukan ke-44 daripada ke-38 tahun lepas. Perhatian utama kita ialah pada keseimbangan bajet kerajaan dan hutang kerajaan.

“Mengenai kesediaan teknologi, Malaysia turun enam tangga ke kedudukan ke-60 daripada ke-51 sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan kedudukan daya saing negara semalam.

Mohd Razali berkata MPC ingin mencadangkan penubuhan pasukan tugas khas bagi menambah baik kesediaan teknologi di negara ini.

Antara inisiatif yang perlu diperkukuh termasuklah langganan jalur lebar mudah alih bagi setiap 100 penduduk, lebar jalur Internet antarabangsa dan langganan Internet jalur lebar tetap bagi setiap 100 penduduk.

Mengenai tunggak kecekapan pasaran buruh, yang meningkat ke tangga ke-19 daripada ke-25 tahun lepas, Mohd Razali berkata kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja buruh.

Pada 2013, daripada keseluruhan penduduk wanita di negara ini, 52.4 peratus kini bekerja.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam tiga tunggak, serta, mengadakan lebih banyak perbincangan dengan komuniti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razali juga mencadangkan untuk mengadakan laporan daya saing peringkat negara, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Daripada rangking, ia akan mendorong kita melakukan yang lebih baik lagi dalam bidang yang kita lemah,” katanya.

Laporan Daya Saing Global, yang berasaskan kepada Indeks Daya Saing Global, diperkenalkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada 2004. -KedahNews.com