Putrajaya – Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan keputusan menukar Akta Hasutan 1948
kepada Akta Keharmonian Nasional akan dilakukan dengan penuh berhemah serta
terbuka bagi menjamin keharmonian dan keamanan negara.
Najib berkata, kerajaan akan
memastikan sebarang tindakan yang dibuat tidak mendatangkan keburukan kepada
masyarakat di negara ini.
"Percayalah proses itu akan
dilakukan penuh berhemah, dengan cara terbuka tetapi dalam keadaan terkawal
mudah-mudahan kesudahannya nanti negara lebih harmoni, kukuh, stabil dan
berjaya," katanya dipetik Bernama pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana
Menteri (JPM).
Menurut Najib lagi, setiap
langkah akan dilakukan dengan lebih rasional kerana bagi mengubah sebarang akta
yang ditetapkan sebelum ini ia haruslah lebih baik daripada akta sedia ada
"Dalam hal itu kita akan
melakukan rundingan dengan semua 'stake holder' (pihak berkepentingan), tentu
sekali yang dilihat bersuara dalam hal ini ialah kumpulan yang mewakili orang
Melayu," katanya lagi.
Tambah Najib, dia menerima dan
faham mengenai pandangan yang diberikan oleh orang ramai berhubung isu itu
kerana ia berkait rapat dengan agama Islam, Raja-Raja Melayu dan Peruntukan
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh sebab itu, Najib menegaskan
setiap keputusan berhubung penukaran tersebut akan dikaji bagi mengelakkan
orang melayu dan bukan melayu rasa selamat dan tidak terancam sekiranya ia
dipinda kelak.
"Kalau tidak lebih baik
mengapa kita ambil langkah itu, adalah sesuatu yang tidak wajar apa jua langkah
pembaharuan kalau ia bukan langkah lebih baik.
"Sebab itu semua proses
berhubung langkah itu mesti diuruskan dengan baik supaya pada kesudahannya dan
keputusan dibuat akan mencerminkan satu keadaan lebih baik," kata perdana
menteri.
Dalam perhimpunan itu juga, Najib
turut melahirkan rasa syukur kerana sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 masih dapat
diraikan dengan perasaan bangga serta semangat patriotisme walaupun negera
masih bersedih terhadap tragedi yang menimpa dua pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370 dan MH17.
"Peristiwa seumpama itu
belum pernah berlaku jadi ia merupakan satu ujian kerana bila berlaku satu
peristiwa yang menyentap perasaan boleh dilihat terdapatnya penyatuan perasaan
menerusi tindakan kebersamaan," ujarnya lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir
Shukor