Cerita Neloofa Cari Damai Di Koh Samui...

Foto

Assalamualaikum dan salam semua. Hujung minggu tiba lagi dan semestinya, Lofa pun kembali berkongsi cerita tak seberapa Lofa untuk Nota Neelofa.

Minggu ini “mood” bercerita Lofa macam seronok sikit, sebab saat menulis artikel ini, Lofa bercuti di Koh Samui, Thailand. Laju pula jari jemari Lofa menekan papan kekunci.

Sekarang baru Lofa faham kenapa ramai penulis skrip atau novel sangat mementingkan faktor persekitaran sewaktu hendak menulis. Lagi tenang suasana, lagi mencurah-curah idea yang keluar.

Sebut pasal percutian Lofa pada minggu ini, semuanya berlaku dengan secara tak sengaja. Bagi pembaca setia Nota Neelofa, pasti anda semua tahu jadual seni Lofa padat sebenarnya.

Entah mengapa, hujung minggu lalu waktu Lofa semak jadual Lofa, tiba-tiba baru perasan minggu ini Lofa sangat lapang. Apa lagi, Lofa terus rancang percutian ini. 

 Sebenarnya, niat untuk ke Koh Samui memang sudah lama, cuma tiada kelapangan waktu. Kalau ikutkan, ini kali kedua Lofa bercuti di Koh Samui.

Memandangkan percutian ini dirancang pada saat akhir, tidak ramai yang dapat sertai Lofa. Hanya Lofa, Nabila dan dua ibu saudara Lofa.

Di Koh Samui, Lofa memilih menginap di Banyan Tree Samui. Melalui reviu yang Lofa baca di Internet, tempat ini memang sangat selesa dan menenangkan. Sesuai dengan misi percutian Lofa kali ini nak berehat dengan setenang-tenangnya.

Nak dijadikan cerita, sewaktu proses check-in, Lofa disambut oleh pengurus resort itu. Selepas berbual panjang, pihak hotel sempat menawarkan pakej spa dan rawatan semula jadi secara percuma.

Tidak cukup dengan itu, makan malam di restoran Saffron secara percuma. Semua itu kerana mereka tahu Lofa selebriti Malaysia.

Untuk itu, Lofa harus mempromosi Banyan Tree Samui dan yang pasti, rombongan Lofa mendapat layanan istimewa daripada mereka.

Alhamdulillah, mungkin ini namanya rezeki. Dari niat asal untuk menenangkan fikiran dan beristirehat, percutian kami ini tambah menarik pula. Bagai orang mengantuk disorong bantal, rezeki yang kami dapat ini digunakan sebaik-baiknya.

Dah nama pun wanita, pasti aktiviti spa dan urut menjadi pilihan kami. Tak keterlaluan kalau Lofa katakan, pusat spa dan urut di sini antara yang terbaik pernah Lofa kunjungi.

Selain pekerja yang sangat berbudi bahasa, suasana pusat spa ini sungguh mendamaikan, tertidur juga Lofa saat diurut. Sebaik ba-ngun, memang terasa kesegaran itu. Belum cakap pasal kemudahan dan keselesaan bilik. Pendek kata memang kalau boleh, tak nak balik KL.

Sebenarnya banyak lagi aktiviti menarik yang ditawarkan kepada kami. Cakap saja apa yang anda nak, semua boleh diatur.

Memandangkan tak nak lari dari misi utama percutian kami untuk beristirehat secara maksimun, kami memilih hanya untuk lepak santai di bilik dan kawasan sekitar.

Kesempatan yang ada Lofa gunakan untuk membaca. Punyalah seronok tempat ini, sampaikan telefon pun hampir Lofa abaikan.

Urusan kerja Lofa letak ke tepi sekejap, kiriman SMS dan Watsapp pun hanya yang penting Lofa layan. Yang lain tunggu sebaik sampai KL baru Lofa respons ya.

Kalau nak diceritakan keseronokan bercuti di Koh Samui, memang takkan habis. Paling penting, Lofa nak rakam jutaan penghargaan kepada Banyan Tree Samui atas layanan diberi.

Dari sarapan pagi di atas katil hinggakan ke sambutan hari lahir Nabila yang tidak dirancang, percutian kali ini memang sangat indah dan santai. Seronok!

Cukup setakat itu mengenai kisah Lofa dan Koh Samui. Kesempatan yang ada ini Lofa nak juga berkongsi pengalaman Lofa menjadi juri program yang memperkenalkan nama Lofa iaitu Pencarian Dewi Remaja.

Apa yang dapat Lofa simpulkan ialah, ia bukan tugasan mudah. Sangat mencabar memandangkan yang datang semuanya sangat menarik dan memiliki pakej lengkap.

Untuk pengetahuan semua, tahun ini kali pertama penyertaan dibuka untuk mereka yang berhijab. Kiranya satu pembaharuan yang cuba diketengahkan.

Sebelum mula proses uji bakat, Lofa sempat beramah mesra berkongsi tip dengan mereka yang hadir. Jika ditanya Lofa apakah kriteria yang dicari, jawapannya pasti keyakinan.

Bagi Lofa, cantik atau bijak macam mana pun seseorang itu, namun jika tiada keyakinan tiada gunanya kerana untuk berjaya dalam sesuatu bidang diceburi, yang membezakan orang yang berjaya dengan tidak ialah keyakinan.

Yakin pada potensi diri dan bakat yang anda, cukup melayakkan anda digelar ‘juara’. Lagi satu yang boleh dikatakan penting juga ialah niat kita.

Tanya diri sendiri apakah niat kita lakukan sesuatu perkara. Jika positif niat kita, insya-Allah, urusan kita akan dipermudahkan.

Nak tahu lebih lagi mengenai kisah Lofa menjadi juri Pencarian Dewi Remaja, tunggu artikel

minggu depan. Sebab banyak sangat yang Lofa nak kongsikan. Minggu ini sekadar pengenalan dulu.

Sebelum Lofa akhiri Nota Neelofa minggu ini, Lofa nak ambil peluang untuk jelaskan khabar angin mengatakan pasangan Lofa di MeleTop, Nabil akan ditukar adalah tidak benar sama sekali.

Tak baik sebar khabar angin begitu. Kesian Nabil. Lofa pun tak dapat bayangan siapa hos lelaki yang sesuai menggantikan Nabil sekalipun jika khabar angin itu benar.

Macam biasa, manfaatkan hujung minggu anda dengan aktiviti berfaedah sehingga berjumpa lagi pada minggu depan. Sebarkan rasa cinta. -myMetro