Jauh perjalanan, luas permandangan. Bukan sekadar menikmati panorama indah ciptaan Allah SWT tetapi turut menimba ilmu.
Itulah yang boleh ditafsirkan ketika mengikuti program Kembara Ustaz
Kazim Elias dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Phuket, Thailand,
baru-baru ini.
Belum pernah rasanya melihat suasana masyarakat Islam belayar di atas
kapal mewah Star Cruises hanya untuk mengikuti kuliah dan tazkirah
agama. Namun, Ustaz Kazim akhirnya merealisasikan impian itu.
Selama empat hari di atas kapal, nyata banyak menyalur ilmu dan
menyuntik pengalaman baru kepada 768 peserta kembara. Secara tidak
langsung, ia boleh dinggap percubaan yang baik.
Jika selama ini mungkin segelintir peserta kembara hanya mengenali
Ustaz Kazim menerusi programnya, Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis, sudah
pasti dalam pelayaran disertai itu mereka lebih mendekati ikon agama
tersohor berkenaan menerusi kuliah dan tazkirah agama diatur.
Ustaz Kazim ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati kerana kembara dalam kapal mewah itu mencapai matlamat disasarkan.
“Biarpun program kembara di atas kapal ini pertama kali dianjurkan,
saya bersyukur kerana matlamat penyertaan peserta mencapai sasaran.
Tidak sangka lebih 700 peserta berminat menyertainya.
“Selain itu, apa yang paling saya utamakan dalam kembara ini untuk
semua peserta sudah tentu pengisian ilmunya memandangkan masa lebih lama
di laut. Justeru, pengisian majlis ilmu di atas kapal ini semestinya
menarik.
“Sokongan dan sambutan baik masyarakat turut diterima ketika lawatan
di Masjid Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, Langkawi dan begitu juga
kunjungan ke sekolah agama Islam di daerah Phuket,” katanya.
Ustaz Kazim, apa yang beliau cuba ketengahkan ialah tiada sekatan
bagi umat Islam untuk mengembara terutama menggunakan perkhidmatan
pelayaran di atas kapal.
Katanya, mengembara dan melancong adalah aktiviti ilmu yang sangat
bagus termasuk dalam berdakwah. Apatah lagi, bagi mengeratkan
silaturahim.
“Menerusi program kembara ini, saya saÒgat gembira kerana sudah ramai
peserta tahu menggunakan kompas untuk tentukan arah kiblat, begitu juga
dengan solat jamak. Selain itu, peserta juga tidak sangsi dengan status
halal makanan.
“Dalam membabitkan diri dengan aktiviti kembara atau melancong ke
luar negara, masalah utama masyarakat Islam adalah mendapatk‡n makanan
halal. Jadi, ia perkara yang sering dibimbangkan.
“Oleh itu, menerusi pelayaran ini saya membuktikan bahawa dengan
kerjasama teliti diatur, status halal makanan disediakan tak perlu
diragui. Melalui kerjasama dengan pihak kapal dan Majlis Agama Islam
Pulau Pinang juga aktiviti samak satu kapal dilakukan, “ katanya.
Kembara dianjurkan syarikat IntraTama Travel Consultant & Tours
dan Pusat Pendidikan Al Barakah dengan kerjasama Star Cruises itu akan
menjayakan kembara pelayaran Ustaz Kazim Elias 2.0 pada Januari tahun
depan.
Ia menyasarkan jumlah peserta lebih ramai iaitu 1,000 orang. Program
bermula dari 25 hingga 28 Januari 2015 itu juga membabitkan pelayaran di
atas Star Cruises akan menjelajah lokasi seperti Pulau Pinang, Krabi
dan Phuket di Thailand.
Sehubungan dengan itu, program kembara UKE ini akan disiarkan di
Astro Oasis sebanyak empat episod mulai 3 Oktober nanti. – Harian Metro