DAP Mahu Najib Dan Tun Mahathir Ditahan Dibawah Akta Hasutan

DAP mencabar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya segera mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang melanggar Akta Hasutan 1948.

Dalam laporan polis yang dibuat pada 24 September lalu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mendakwa kenyataan Najib dan Tun M jelas melanggar akta hasutan yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

Lip Eng berkata, menerusi satu kenyataan yang ditulis Tun M di dalam blognya pada 11 April bertajuk ‘Gelang Patah’, bekas Perdana Menteri itu didakwa telah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan apabila menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjadi penghasut agar orang Cina bangun menentang orang melayu di Johor.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi segera membuka kertas siasatan terhadap Najib dan Tun M berhubung laporan tersebut.

 “Tidak kira siapa pun mereka, bekas Perdana Menteri atau Perdana Menteri sekalipun.

“Siasatan tetap harus dilakukan secara konsisten dan segala keputusan akan ditentukan oleh pihak mahkamah kemudian,” kata Johari dipetik menerusi Keadilan Daily.

Menurut Johari, pihak KDN seharusnya bertindak dengan adil dalam menjalankan sebarang siasatan termasuklah kepada Najib dan Tun M sekiranya benar mereka bersalah dan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Jelasnya lagi, sekiranya pihak KDN masih berdiam diri berhubung laporan yang dibuat oleh Lip Eng terhadap dua pemimpin ini, ia jelas menunjukkan kementerian tersebut bersikap berat sebelah.

“Jika tiada langsung sebarang siasatan dilakukan, ini jelas menunjukkan kerajaan memang mempunyai sikap yang ‘double standard’,” ujarnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor