Shah Alam – DAP memohon maaf
kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana parti itu telah
menyebabkan baginda berasa dukacita akibat tindakan mereka yang tidak mematuhi
titah tuanku dalam mengemukan nama tiga calon bagi jawatan Menteri Besar di
negeri berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan
Eng berkata, DAP akan sentiasa taat setia terhadap Sultan Selangor walaupun
parti itu gagal mematuhi permintaan Sultan Selangor dalam mengemukakan tiga
nama selain Presiden Pakatan Keadilan
Rakyat (PKR), Datuk seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya ingin memohon ampun kepada
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana telah menyebabkan tuanku merasa
dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama Adun Kajang, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang
baharu.
"Keputusan DAP itu telah dicapai
selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia
mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan Tan Sri
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013," katanya dipetik Sinar
Harian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Merujuk kepada laporan semalam,
Sultan Selangor berasa sangat dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP yang
enggan mengikut titah baginda apabila bertegas menghantar nama Wan Azizah
sebagai calon tunggal.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor ,
Datuk Mohamad Munir, tindakan yang dilakukan oleh dua parti tersebut jelas
membuktikan satu perbuatan yang biadap terhadap institusi raja kerana
menderhaka kepada titah baginda.
Tambah Mohamad Munir lagi, Sultan
Sharafuddin sudah menerima senarai calon bagi jawatan Menteri Besar daripada
Pakatan Rakyat namun hanya PAS yang akur dengan titah baginda dengan
menyenaraikan tiga nama.
Sementara itu, Guan Eng berkata,
DAP akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim berkenaan isu tersebut.
"DAP mengulangi kesetiaan kepada
institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding
dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor
yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku," ujarnya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor