Pernahkah kita terfikir bagaimana
Islam boleh berkonflik dengan Barat? Islam adalah agama sedangkan Barat adalah
blok atau kumpulan negara dan bukannya agama. Begitu juga dalam konteks politik
dan pemerintahan, penggunaan istilah Islam dan demokrasi digunakan. Ada yang
mempersoalkan bagaimana Islam boleh digandingkan dengan sebuah sistem politik
ciptaan manusia yang terdedah dengan kekurangan?
Tidak dinafikan, terma Islam dan
Barat atau Islam dan demokrasi sering kali dipilih bagi menggambarkan sebuah
hubungan, juga pertembungan antara kedua-dua belah pihak. Ini kerana antara
Islam dan Barat atau demokrasi, ia mewakili sejarah, pemikiran, budaya dan
nilai yang berbeza. Lebih-lebih lagi demokrasi yang lahir di bumi Barat, telah
membawa segala idea kemajuan yang berpaksikan kepada pembangunan dan pemodenan.
Dalam konteks masa kini,
demokrasi telah menjadi satu jenama Barat yang semakin diterima baik, malah di
beberapa tempat, bersikap tidak demokratik dianggap sebagai satu kesalahan
besar, berbanding tidak menjalankan tuntutan agama. Demokrasi disinonimkan dengan
hak dan kebebasan, manakala agama pula amanah dan tanggungjawab yang dianggap
membebankan. Malah, jika demokrasi sekalipun, ia mesti mengikut acuan dan
selera Barat. Bukan demokrasi yang diubah suai, tetapi demokrasi salinan Barat.
Demokrasi acuan kita
Demokrasi sering kali dilihat
mempunyai satu bentuk sahaja iaitu yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi
Barat. Dalam hal ini, hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat kental dan
mempengaruhi dalam konteks pelaksanaannya seperti soal hak asasi manusia dan
kebebasan individu. Malaysia tidak terlepas dalam soal ini apabila sering
disorot dan dibandingkan pelaksanaan demokrasinya mengikut perspektif Barat.
Sebagai sebuah negara yang
meletakkan Islam sebagai agama rasmi, majoriti rakyatnya Melayu dan beragama
Islam serta masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala
Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
Di sinilah letaknya kepentingan
demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan al-Quran dan
as-sunah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam erti kata
lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal
dan kebebasan individu hendaklah dilunturkan dan diganti dengan prinsip dan
nilai Islam.
Islam perlu memimpin demokrasi
agar demokrasi terpimpin ini tidak terpisah dengan agama dan tradisi Islam.
Dalam hal ini, Al-Maududi pernah memperkenalkan konsep theo-democracy iaitu
demokrasi yang berasaskan agama. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama
dalam memandu demokrasi, dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih
mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu.
Maududi percaya bahawa demokrasi
hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan agama atau
'lingkungan' yang telah ditetapkan oleh Islam.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna
umat Islam dihalang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka boleh
mencari jalan penyelesaian atau hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak
diputuskan secara langsung dalam al-Quran mahupun as-sunah. Malah dalam Islam,
perkara yang dikategorikan sebagai siyasi iaitu cara untuk memerintah kerajaan
dan menyelesaikan konflik, umat Islam diberikan kebebasan untuk mencari jalan
penyelesaiannya dengan syarat ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-sunah.
Berbeza dengan perkara yang
dikategorikan sebagai adini iaitu hal yang berkaitan dengan akidah
(kepercayaan), ibadah (penyembahan) dan akhlak (tingkah laku), umat Islam mesti
menerima apa juga ketetapan yang telah diputuskan dalam al-Quran dan as-sunah.
Mereka tidak diberikan kebebasan untuk menentu dan mengubah tentang apa yang
telah diputuskan berkaitan tentang ketiga-tiga perkara itu.
Sebagai sebuah negara yang
meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan negara, Malaysia
wajar mendefinisikan demokrasi mengikut acuan Islam selain mengambil kira
tuntutan nilai timur dan budaya tempatan. Pandangan ini sebenarnya pernah
dilontarkan oleh John L Esposito dalam buku Islam and Democracy, apabila beliau
melihat demokrasi adalah satu sistem politik yang sentiasa berubah, boleh
diperdebatkan dan tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.
Malah, beliau menyarankan
demokrasi perlu digabungkan dengan nilai dan budaya tempatan termasuk faktor
Islam dalam konteks ini. Pendekatan ini pastinya akan menjadikan demokrasi itu
lebih 'dekat' dengan aspirasi Islam dan relevan dalam konteks pelaksanaannya di
Malaysia.
Tolak idea kemajuan Barat
Tragedi 11 September 2001 telah
memperkukuhkan kedudukan demokrasi selain Amerika Syarikat (AS) di peringkat
global. Hegemoni Barat yang didalangi oleh AS telah dirobek selepas serangan
terhadap World Trade Centre (WTC) dan sebahagian bangunan Pentagon. Ketika itu,
AS tanpa mengambil masa yang panjang telah melancarkan kempen Perang Global
Menangani Keganasan atau 'Global War Against Terror' (GWAT).
Meskipun kempen ini pada awalnya
mahu memberi tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa menjadi pencetus
kepada siri keganasan atas nama Islam, tetapi kesannya menjalar kepada
pergerakan Islam yang mengambil pendekatan sederhana, juga keseluruhan umat
Islam. Situasi ini sebenarnya didorong oleh pendirian Barat yang melihat umat
Islam adalah kumpulan yang bersifat monolitik atau seragam.
Sikap pukul rata ini memberi
gambaran buruk kepada Islam sehingga agama dilihat sebagai satu elemen yang
mendorong kepada keganasan. Dasar dan pendekatan beragama dianggap satu langkah
berbahaya dan terkebelakang yang akan menolak keadilan dan kebebasan manusia.
Bagi Barat, demokrasi tidak hanya
datang membawa pilihan raya, sebaliknya, ia datang bersama idea kemajuan yang
mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep
kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik
daripada agama serta kemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan
manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana
negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap
tidak membawa aspirasi asal Barat.
Justeru, kemenangan parti Islam
dalam pilihan raya di beberapa negara dinafikan kerana mereka menggugat nilai
demokrasi asal dan selera Barat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ikhwanul
Muslimin di Mesir dan sebelum itu Parti Refah di Turki, Front Islamique
Salvation (FIS) di Algeria dan Hamas di Palestin. Hak mereka untuk memerintah
dihalang walaupun telah menggunakan proses demokrasi melalui pilihan raya yang
sah.
Faktor demokrasi yang tidak berisiko
memperlihatkan kerajaan hanya menerima demokrasi selagi demokrasi itu tidak
membawa risiko apa-apa terhadapnya. Sebagai contohnya, kerajaan tidak bersedia
menerima kemenangan daripada parti Islam meskipun pada awalnya menerima
penyertaan parti itu dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.
Sikap tidak adil ini bukan sahaja
tidak demokratik, malah lebih buruk daripada itu, ia mendorong kepada kelahiran
kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan
raya. Apabila demokrasi disekat, keganasan politik akan berlaku dan inilah
sebenarnya yang mahu dilihat oleh Barat, iaitu Islam menganjurkan keganasan.
Pluralisme demokrasi dan
kepelbagaian agama
Barat amat konsisten
mempromosikan kebebasan atas nama demokrasi. Kini Barat tidak perlu lagi
runsing kerana agenda itu dilakukan sendiri oleh umat Islam, khususnya golongan
intelektual. Sebahagian mereka ditaja melalui dana penyelidikan antarabangsa
yang besar dengan tujuan mempromosikan demokrasi, kebebasan dan keadilan yang
mutlak dan meminggirkan peranan agama.
Kumpulan intelektual ini
sememangnya digemari oleh Barat dan melalui suntikan dana penyelidikan, mereka
menjadi jurucakap dan diberi pentas yang besar dalam mempromosikan 'Islam'.
Kumpulan ini bukan semua berlatarbelakangkan agama, tetapi dengan kemampuan
berbahasa Inggeris, berketrampilan dan sikap toleransi yang melampau, mereka
mentafsir Islam menggunakan logik akal tanpa menggunakan sumber tertinggi,
iaitu al-Quran dan as-sunah.
Fenomena pluralisme demokrasi dan
kepelbagaian agama masa kini memburukkan lagi keadaan. Bagi mereka, sudah tidak
ada kebenaran mutlak dalam Islam dan semua boleh disanggah dan diberi
penafsiran yang pelbagai. Lebih malang, atas nama meraikan kepelbagaian, umat
Islam dikelirukan dengan hujah dan logik akal mereka.
Ini termasuk memperjuangkan hak
atas nama kebebasan dan demokrasi. Anehnya, mereka langsung tidak bercakap soal
tanggungjawab atau sekurang-kurangnya mencari keseimbangan antara hak dan
tanggungjawab. Sebaliknya, mereka melihat menuntut hak itu lebih besar dan
mulia daripada memperingatkan soal tanggungjawab.
Sedangkan dalam konteks Islam,
kita dilahirkan dalam keadaan berhutang kerana dianugerahkan nyawa dan
kehidupan oleh Allah SWT. Kita sepatutnya malu kerana melebihkan soal hak dan
melunakkan soal tanggungjawab. Bersuara soal hak tidak salah, tetapi ia
mestilah seiring dengan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT yang
mempunyai batas dan sempadannya.
Apa yang penting, kita perlu
cerdik mendefinisi dan menilai demokrasi mengikut acuan kita, bukan mencedok
bulat-bulat dari Barat. Kenapa kita perlu tunduk dengan pendirian Barat
sedangkan kita sendiri boleh membuat pilihan? Jika benar demokrasi bercakap
soal hak dan kebebasan, kenapa kita tidak boleh menunaikan hak dan kebebasan itu
untuk membuat pilihan?
Kebebasan bukanlah kunci utama
memahami demokrasi, sebaliknya ilmu dan kebijaksanaan. Keghairahan kita
mengejar kebebasan tidak akan membawa ke mana kerana suatu masa nanti, kita
akan rebah dan tersungkur. Kebebasan tanpa had dan batas akan merosakkan kita.
Islam bukanlah agama yang
mengekang umatnya daripada berfikir dan menyelidik. Jika Islam menghalang, maka
tidak lahirlah tradisi ilmu Islam yang kekal sampai sekarang. Islam juga tidak
menolak penolak pembaharuan, tetapi agama yang bersifat sejagat dan dinamik
yang menjawab persoalan sepanjang hayat. Tugas kita adalah mencungkil
kebenarannya dan apa juga kaedah penyelesaian mesti kembali kepada
tanggungjawab kita mendaulatkan kesucian dan ketinggian agama.
Barat tidak memerlukan satu lagi
tragedi selepas 11 September 2001 untuk melemahkan umat Islam. Ia boleh datang
secara proksi dan kejahilan umat Islam sendiri yang melihat Islam itu hanya
satu anutan bukan cara hidup yang sempurna.
Sumber : Berita Harian