Dewan Ulama PAS Mahu Ahli Pertahan Abdul Hadi



Kuala Lumpur – Dewan Ulama PAS mengesa setiap ahlinya mempertahankan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diserang teruk oleh pemimpin Pakatan Rakyat kerana menolak cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melantik isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, mengikut kedudukan Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 7 September lalu, Presiden PAS mempunyai hak dan kuasa dalam memutuskan sesuatu keputusan melibatkan kepentingan parti.

"Ini merupakan manifestasi daripada Fasal 26 (1) (a)," kata dipetik Harakah Daily.

Justeru itu, dia menegaskan Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan akan berdiri teguh dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi.

Azhar berkata, dia meminta semua ahli PAS yang mempunyai kefahaman tentang adab berjemaah yang telah lama diterapkan oleh para pemimpin terdahulu pari itu akan sentiasa menyokong setiap keputusan presiden.

"Sebagai ahli PAS, adalah satu tanggungjawab untuk kita setia dan taat kepada pimpinan tertinggi dalam memenuhi prinsip dan adab berorganisasi," katanya lagi.

Menurut Azhar lagi, selagi tidak melanggar syariat, setiap keputusan PAS berada ditangan Abdul Hadi dan ia sah di sisi perlembagaan parti.

Dalam laporan media sebelum ini, Abdul Hadi telah dikritik teruk oleh pemimpin PKR dan DAP kerana bertindak tidak menerima cadangan Anwar yang ingin melantik isterinya, Wan Azizah sebagai Menteri Besar di Selangor.

Abdul Hadi dalam satu kenyataannya menegaskan penolakan PAS terhadap Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar kerana dia tidak mempunyai kebolehan menjadi peneraju pentadbir kerajaan di negeri berkenaan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor