Norazli Musa dalam ucapannya menyelar pemimpin PAS yang bertindak menyebelahi parti sekutu mereka, DAP dan PKR, serta menyifatkan tindakan tersebut sebagai salah satu tanda munafik terhadap parti.
"Mereka tidak menyokong presiden kita dan memihak pada parti lain. Adakah ini bukan merupakan perbuatan munafik dalam parti.
"Timbalan Presiden sendiri pun tidak menyokong Presiden," katanya yang dipetik dari Malaysian Insider, semalam.
Kenyataan Norazli itu turut disokong oleh kumpulan penyokong kepimpinan ulama di dalam PAS, El-Haraki yang memuji sikap vokal wakil Dewan Ulama PAS Perak tersebut.
"Beliau menyatakan, jika dahulu zaman Al-Marhum Ustaz Fadhil Noor diserang, dibelakangnya ada Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan pimpinan Ulamak yang lain. Namun hari ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi diserang siapa yang mempertahankannya? Harapkan Timbalan Presiden sekarang, langsung tidak mempertahankan malahan melawan Tuan Guru Presiden.
"Tambahan lagi, disuarakan juga isu berkait dua Adun yang mengkhianati PAS. "Munafik" itu gelaran yang wajar diberikan kepada mereka, kerana jelas ia menepati syarat-syarat munafik tersebut. Apabila ditanyakan kepada para muktamirin yang hadir, "Tidak munafikkah mereka?" Maka seluruh yang hadir dalam dewan menyatakan "munafik"," kata kumpulan tersebut yang dipetik dari laman Facebook mereka.
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sebelum ini dilihat lebih mempertahankan DAP dan PKR berbanding pendirian Abdul Hadi di dalam menghadapi krisis dalaman Pakatan Rakyat yang semakin meruncing.
Mat Sabu turut disifatkan cuba mengelak dari mempertahan Presiden PAS yang enggan menurut telunjuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP dalam isu Menteri Besar Selangor.
Selain itu, beberapa pemimpin PAS yang berlatar belakangkan fahaman Islam liberal serta golongan profesional juga dikatakan enggan bersetuju dengan Presiden dan Dewan Ulama berhubung krisis "retak menanti belah" itu.
Norazli juga tidak menghiraukan "arahan" Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, yang mahu PAS tidak menyanjung bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah, Allahyarham Mohd Lotfi Ariffin, yang terkorban di negara bergolak, Syria, baru-baru ini.
Dalam ucapannya semalam, Norazli memohon dewan muktamar supaya bertafakur sejenak bagi menghadiahkan doa dan Al-Fatihah kepada Mohd Lotfi. -KedahNews.com