"Dia Masuk UMNO Bawa Masalah, Dia Buat Pakatan Pun Dia Buat Masalah" - Tun M


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai "pembawa masalah" di dalam mana-mana parti politik yang beliau sertai atau bekerjasama selama kariernya di negara ini.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Anwar pernah merosakkan UMNO dari dalam ketika menyertai parti itu sebelum ini dan mengulangi perangai buruk itu di dalam partinya sendiri.

Malah bapa Menteri Besar Kedah itu mendakwa bahawa Anwarlah individu yang menjadi punca perbalahan di antara golongan ulama dan profesional di dalam PAS yang semakin memalukan parti itu berdasarkan kejadian "luar biasa" di Muktamar Pas ke-60 di Johor baru-baru ini.

"Ini (masalah) adalah hasil kerjasama dengan Datuk Seri Anwar, sesiapa yang bekerjasama dengan dia akan hadapi masalah kerana dia suka memecahbelahkan.

 "Penyokong-penyokong dia pun dia pecah belah...dia punya sejarah memang seperti itu. Dia masuk Umno dia bawa masalah, dia buat Pakatan pun dia buat masalah," kata Tun M yang dianggap "political genius" itu sebagaimana yang dipetik dari Bernama, semalam.

Justeru itu, bekas "mentor" Anwar yang mendakwa pernah tertipu dengan Timbalannya itu suatu ketika dahulu menyarankan PAS supaya mengambil iktibar dan jadikan pengalaman itu sebagai pengajaran berguna demi parti Islam itu.

Kemelut antara golongan ulama dan profesional yang melanda PAS begitu memalukan parti itu di mana para perwakilan bertindak mengutuk kepimpinan tertinggi parti itu, khususnya Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan dua ADUN Selangor yang dianggap sebagai "pengkhianat".

Presiden PAS dalam kenyataan terbarunya mengejutkan ramai pihak dengan menyifatkan dua ADUN Selangor yang menyokong isteri Anwar sebagai Menteri Besar yang baharu sebagai "barua" PKR. -KedahNews.com