Biarpun "diguling", dipecat dan dimalukan dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan, bekas Menteri Besar Selangor, nama Tan Sri Khalid Ibrahim tetap gah dan "bersih" di mata ribuan kakitangan Kerajaan Negeri Selangor.
Dalam pertemuan terakhir bersama kakitangan awam negeri termaju itu semalam, jelas sekali "seteru utama" Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali, itu disayangi dan dikagumi oleh segenap lapisan kakitangan di bawahnya.
Dilaporkan bahawa lebih 1,000 kakitangan awam negeri Selangor berkumpul mendengar amanat Abdul Khalid dengan memegang sepanduk memuji dan memberi sokongan terhadap beliau yang menjadi mangsa "konspirasi peringkat tertinggi" itu.
Antara tulisan yang tertulis di sepanduk-sepanduk tersebut ialah "Tan Sri Khalid Terbaik", "Terima Kasih Tan Sri Khalid" dan "We Love Tan Sri Khalid".
Selain itu, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang Menteri Besar yang terbaik dan mampu menjalankan pentadbiran negeri tanpa dipengaruhi politik atasan PKR.
"Kerja empat tahun dengan beliau cukup selesa, tidak ada campur tangan politik... Kita bebas buat keputusan mengikut dasar yang ditetapkan," tegasnya meskipun pernah menjadi mangsa politik PKR yang pernah mempertikai pelantikannya sebagai SUK sebelum ini.
Sebelum dan ketika dalam tempoh berkempen pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, kepimpinan tertinggi PKR, termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuja-muji dan melontarkan kata "wangi-wangian" tentang pencapaian serta kehebatan Abdul Khalid.
Namun, semuanya berubah setelah Anwar memberi restu pada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, untuk memulakan "Langkah Kajang" bagi menjatuhkan Abdul Khalid untuk digantikan dengan suami Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu. -KedahNews.com