Dihina Sebagai Pengkhianat, PAS Hanya Mampu Luah Kesal Dengan Serangan DAP?

Meskipun dituduh sebagai "pengkhianat" oleh DAP, PAS hanya mampu untuk meluahkan rasa kesal mereka terhadap serangan yang dilakukan terhadap rakan sekutu yang berkali-kali memalukan parti Islam itu di arena politik Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam reaksi membalas tuduhan "pengkhianat" oleh Setiausahan Agung DAP, Lim Guan Eng, hanya sekadar memberitahu kekecewaan partinya atas tuduhan yang dilemparkan.

"Bagi pihak PAS, saya ingin merakamkan rasa kesal di atas sikap Setiausaha Agung DAP yang menuduh 4 orang Exco Kerajaan Selangor dari PAS sebagai melakukan pengkhianatan terhadap prinsip solidariti dan setiakawan bersama dengan 6 lagi bekas Exco dari DAP dan PKR.

"4 Exco tersebut mematuhi arahan PAS Pusat untuk tidak meletakkan jawatan sebagai Exco selepas Exco-Exco lain dipecat oleh Menteri Besar Selangor pada 12 Ogos 2014 yang lalu", jelas Mahfuz dalam kenyataannya terhadap serangan Guan Eng itu.

Kata Mahfuz, PAS sudah berkali-kali memberitahu DAP dan PKR berhubung alasan 4 Ahli Dewan Undangannya yang enggan meletak jawatan, namun penjelasan yang dibuat seolah-olah "mencurah air ke daun keladi".

"Kepimpinan PAS sebelum ini telah beberapa kali memberikan penjelasan di atas tindakan tersebut yang dibuat, namun kelihatan Setiausaha Agung DAP memilih untuk terus menyerang PAS di khalayak ramai," kata Mahfuz kesal dengan keengganan DAP untuk memahami tindakan partinya.

Justeru itu, Mahfuz yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah itu sekali lagi cuba memahamkan Guan Eng tentang tindakan parti Islam itu yang melarang empat Ahli Dewan Undangan (ADUN) PAS dari meletak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

"Saya percaya Setiausaha Agung DAP menyedari wujudnya peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang mensyaratkan hendaklah terdapat minimum empat orang Exco bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor terus dapat berfungsi seperti biasa," kata Mahfuz.

Guan Eng dalam kenyataannya sebelum ini menggelar PAS sebagai "pengkhianat" ekoran keputusan parti itu yang enggan menurut "arahan" DAP dan PKR untuk meminta empat Exco Kerajaan Negeri dari parti itu untuk meletak jawatan bagi mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Sepanjang PAS bergabung dengan PKR dan DAP, parti yang kononnya memperjuang kedaulatan Islam telah kehilangan perjuangan asal mereka yang mahu menubuhkan Kerajaan Islam dan mewujudkan undang-undang hudud di Malaysia.

PKR dan DAP menentang keras perjuangan asal PAS itu yang ditukar ganti dengan perjuangan menubuhkan "Kerajaan Kebajikan" dan sama sekali menghapuskan niat untuk melaksanakan hudud.

Perkembangan terkini mempamerkan keretakan serius di dalam PAS apabila sebahagian penyokong PKR dan DAP di dalam parti itu mula menunjukkan "belang" masing-masing dengan bertindak membelakangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebaliknya lebih patuh pada pemimpin utama parti sekutu mereka itu. -KedahNews.com