ZALINA resah. Dia tak tahu apa yang harus dilakukan. Baginya hilang
sudah tempatnya bergantung. Hidupnya terumbang-ambing. Kalaulah dia tahu
begini kesudahan hidupnya, mahu sahaja dia berfikir masak-masak sebelum
berkahwin dengan Hazrul - pemuda Melayu Islam yang berjaya memikat
hatinya.
Zalina tahu, kalau dia balik ke pangkuan keluarga, sudah pasti dia
akan dikeji, dicemuh dan dicerca. Dia tahu sangat, dari dulu lagi
keluarganya membantah keputusannya. Tetapi ketika itu dia dilamun
kemaruk cinta. Baginya, biar dia hilang keluarga asalkan Hazrul ada.
Kini, nasi sudah menjadi bubur. Dia hilang segala-galanya. Dia hilang
kasih sayang seorang suami dan paling menyedihkan, dia hilang hak
penjagaan kedua-dua orang anaknya. Mahu sahaja dia bunuh diri kerana
tidak mahu berhadapan dengan situasi sedemikian. Bagi Zalina, tidak guna
lagi untuknya hidup di muka bumi ini kerana tiada lagi yang
menyayanginya.
Masih dia ingat, pada malam itu Hazrul dengan sombong melafazkan
talak tiga. Puncanya, Hazrul terlalu marah kepadanya apabila
mencurigainya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Zalina mahukan
kepastian. Dia tidak mahu ada orang lain hadir dalam kehidupan rumah
tangga mereka. Dia tidak mahu Hazrul menduakannya. Dia tidak sanggup
hidup bermadu.
Bagi Zalina, jika dia sanggup buang keluarga dan menukar agamanya,
kenapa tidak Hazrul yang sepatutnya berkorban untuk dirinya dengan tidak
mencari perempuan lain.
Dia tahu lelaki dalam Islam boleh berkahwin empat. Dia tahu Islam
membenarkannya. Tetapi sebagai wanita, sekalipun perkara itu dihalalkan,
tapi dia tidak mampu untuk menerimanya.
Dia bukan menentang hukum Allah. Tapi dia mahu keadilan untuk
dirinya. Apa makna pengorbanan yang dilakukan selama ini jika Hazrul
memperlakukannya sedemikian rupa. Di mana kasih sayang Hazrul selama
ini? Di mana janji Hazrul untuk membahagiakannya kerana Hazrul juga tahu
dia tiada sesiapa lagi di dunia ini.
Jangan sedih. Abang ada. Apapun yang terjadi pada diri Zalina,
abang sesekali tidak akan membiarkan Zalina menderita," itu kata-kata
Hazrul ketika memujuk Zalina berkahwin dengannya, sekali gus menukar
status agamanya.
Sebaik berkahwin, janji Hazrul untuk mengajarnya tentang Islam, hanya
tinggal janji. Zalina dibiarkan belajar sendiri. Kata Hazrul, Islam
itu hanya perlu solat dan puasa.
Zalina ibarat orang yang terkontang-kanting. Malu rasanya bergelar
seorang Muslim tapi sembahyang pun tak tahu. Puasa? Kalau mampu dia
melakukannya. Jika tidak, dia meninggalkannya. Hazrul pun tidak pernah
untuk mengajar dan mendidiknya. Pernah anaknya bertanya bagaimana
bacaan tahiyat kepadanya. Tapi Zalina hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Si anak kecil yang bertanya akhirnya mendiamkan diri.
Menyedari akan kekurangan diri, ada juga Zalina mencari kelas
pengajian Islam untuk dihadiri. Namun kekangan masa membuatkan
komitmennya sering terganggu. Kelas yang dihadiri hanya separuh jalan.
Apatah lagi Hazrul juga tidak pernah mendorongnya. Bagi Hazrul,
cukuplah Zalina bergelar seorang Muslim.
Kini Zalina cukup menyesal. Dia bergelar seorang Muslim hanya atas
dasar ikatan perkahwinan. Kerana itu dia gagal untuk mendapatkan hak
jagaan anak-anaknya. Di mahkamah syariah, Hazrul memberitahu, Zalina
tidak layak untuk hak penjagaan tersebut kerana pengetahuannya agamanya
tidak kuat.
Zalina duduk terdiam. Sama sekali dia tidak menyangka, Hazrul sanggup
meletakkan kesalahan tersebut kepada dirinya sekali gus menafikan
haknya sebagai ibu yang mengandung serta melahirkan anak-anaknya.
Zalina cukup menyesal. Apa yang perlu dilakukannya kini? -Utusan