Dua ADUN 'Derhaka' Dipanggil Mengadap Lembaga Disiplin PAS Pusat


Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) dipanggil mengadap Lembaga Disiplin Jawatankuasa PAS Pusat kerana dikatakan telah derhaka dengan memberi sokongan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu Menteri Besar Selangor.

Pertemuan dengan pimpinan PAS Pusat ini diadakan di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi, tadi.

Menurut laporan dari Mstar.com.my, kedua-dua mereka dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung surat akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tindakan tersebut dianggap membelakangkan keputusan parti.

Namun begitu, sebelum ini Saari telah menyatakan kesediaannya untuk terus setia bersama PAS dan tidak akan meninggalkan parti itu.

Sekiranya disingkir, beliau akan bertanding sebagai calon Bebas.

Sementara itu, Hasnul pula menyatakan kesediaannya untuk bertanding di atas tiket DAP jika parti membuat keputusan menyingkirkan beliau.

Kedua-dua ADUN itu bersedia menerima sebarang keputusan atau tindakan tatatertib yang diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com