Landskap politik Malaysia akan menjadi lebih aman dan stabil sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengambil keputusan untuk bersara dari dunia politik tanahair.
Seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Australia, Radzi Jidin, berpandangan, lebih dari 15 tahun Anwar "mengangkat diri" cuba menjadi "bakal" Perdana Menteri Malaysia, namun gagal hingga ke hari ini dan mengeruhkan lagi kestabilan politik negara.
"Secara
jujur hamba rasa Malaysia ini lebih aman jika Anwar dan isterinya
bersara dari politik.
"Cukup-cukuplah tu Bung! Dari PRU tahun 1999 anda
mengangkat diri anda sebagai "Bakal" Perdana Menteri. 15 tahun berlalu,
anda adalah "bakal" Perdana Menteri.
"Janganlah pula cuba mengangkat diri
anda menjadi "bakal" Sultan," sindir Radzi sebagaimana yang dipetik dari akaun laman sosial Facebooknya baru-baru ini.
Radzi yang merupakan anak jati Kelantan itu berkata, "ribut" di Selangor mampu untuk diselesaikan dengan baik sekiranya kedua pemimpin pembangkang itu bersara.
Kata pensyarah itu lagi, dengan bersara terus dari dunia politik, setidak-tidaknya pasangan suami isteri itu dapat mengurangkan dosa para pengikut bawahannya yang hampir setiap hari mengutuk dan menghina orang lain demi mencapai cita-cita Anwar menjawat jawatan Perdana Menteri.
Antara "orang lain" yang menjadi mangsa kutuk para penyokong pasangan suami isteri itu yang dimaksudkan Radzi ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor yang "digulingkan", Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kemelut di Selangor boleh selesai sekiranya anda berdua bersama-sama bersara dengan tenang. Pada masa yang sama anda juga dapat mengurangkan dosa-dosa kering penyokong-penyokong tegar anda yang mengutuk dan menghina orang lain dalam mencapai cita-cita anda.
"Antara mangsanya ialah TS Khalid Ibrahim dan Presiden PAS, Ustaz Hadi," jelas Radzi memperkukuh pandangannya. -KedahNew.com