Eksklusif: "Nota Cinta" Dari Guru Untuk Guru!


Nota ringkas "Dari Guru Untuk Guru (DGUD)" di atas sedang viral beredar di laman-laman sosial khususnya di kalangan guru-guru di seluruh negara menerusi Facebook, Twitter, Whatsapps dan sebagainya.

Berkisar mengenai pendirian seorang guru yang memutuskan untuk bersara awal pada umur 51 tahun disebabkan kekecewaannya terhadap sistem pendidikan negara yang disifatkan tidak efektif dan menghasilkan pelajar yang kurang berkualiti, khususnya dari sudut akhlak.

"Sistem pendidikan yang ada sekarang tidak langsung memberi ruang dan peluang pada guru untuk mendidik (pelajar)," kata guru tersebut.

Menurutnya, sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang tidak membenarkan guru-guru bertindak marah atau mendenda pelajar sehingga menyebabkan anak-anak didik mereka itu tidak hormat dan bertindak biadap pada mereka.

"Akibatnya murid tak takut/hormat guru, guru tak dapat kawal kelas kalau takde rasa hormat/takut murid, murid jadi biadap pada guru," katanya lagi, kesal dengan larangan dari pihak Kementerian Pendidikan itu.

Selain itu, guru terbabit turut meluahkan rasa kesal dengan konsep "guru penyayang" yang diperkenalkan di mana guru-guru terpaksa tunggu di pintu pagar sekolah dengan wajah manis sambil mengucapkan "selamat datang" pada pelajar.

"Siapa hormat siapa, gurukah @ muridkah yang dihormati," katanya mempertikaikan tindakan yang dipercayai menghakis rasa hormat pelajar pada guru-guru itu.

Guru itu berpandangan bahawa dengan konsep tersebut, ramai guru-guru yang lemah semangat dan hanya sekadar melaksanakan tugas asas mereka sahaja dengan mengajar silibus mata pelajaran yang telah ditetapkan pihak kementerian.

"Apa kesudahannya? Generasi apa yang kita akan dapat?" pertikai guru itu lagi.

Menurut guru tersebut, tindakan seperti itu hanya berlaku di sekolah-sekolah "Kebangsaan" sahaja dan tidak berlaku di sekolah-sekolah "Jenis Kebangsaan" Cina.

"Malangnya hanya berlaku di sk (sekolah kebangsaan) sahaja, di sjk (sekolah jenis kebangsaan) Cina, PIBG bagi rotan pada guru untuk didik anak mereka.

"Orang Melayu juga yang rugi sebab nak jadi omputih sangat," ujarnya meluahkan rasa kesalnya pada nasib dan masa depan generasi Melayu muda yang akan datang.

Di akhir nota tersebut, guru itu sempat mengirimkan sepotong hadis Rasulullah SAW berhubung "aura rotan" yang disifatkan antara kaedah mendidik keluarga yang sangat berkesan menurut Islam.

"Beruntunglah mereka yang menggantungkan cambuk di rumah mereka untuk mengajar isteri dan anak" katanya sebelum mengakhiri perkongsian nota "cinta" tersebut.

Tidak dapat tidak, KedahNews.com tidak dapat menafikan kebenaran di sebalik nota dari seorang guru "pencen" itu dan kami memandang tinggi luahan membina yang diharap mampu memperbaiki sistem pendidikan negara sedia ada.

Harapan kami semoga pihak yang berkenaan dapat menerima luahan itu dari sudut positif dan turut memperakui kelemahan yang ada, seterusnya mengambil inisiatif yang wajar bagi memperbetul sistem pendidikan yang sedang dilaksanakan.

Bukanlah para guru menentang kerajaan, namun mereka hanya meluahkan pandangan mereka dari sudut pandang pihak yang setiap hari bergelumang dengan dunia pendidikan secara realistik dan bukan hanya berdasarkan "teori" semata-mata. Wallahua'alam. -KedahNews.com