Seorang pensyarah warga Malaysia di Australia, Radzi Jidin, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 16 tahun lalu.
Katanya, ketika peristiwa Anwar dipecat dari semua jawatan yang disandang itu berlaku, pensyarah yang mengaku kagum pada bekas Timbalan Presiden UMNO tersebut sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Melbourne, Australia.
"Dalam
bulan ini 16 tahun lalu, anda dipecat dari jawatan Timbalan Perdana
Menteri. Semasa itu saya sedang belajar di Melbourne dengan sumber
berita dari Malaysia yang agak terhad.
"Kali pertama mendengar berita
anda dipecat, saya agak kecewa dengan tindakan Dr Mahathir memecat
pemimpin yang pada masa itu saya kagumi," katanya yang dipetik dari akaun laman Facebooknya, semalam.
Namun kata Radzi, perasaan kecewa itu berubah mendadak apabila dia serta merta hilang rasa hormat pada Anwar ekoran tindakan dan akhlak Ketua Pembangkang itu setelah dipecat.
"Namun, sejurus selepas dipecat dari jawatan dan dibuang dari UMNO, anda terus mengutuk
dan menghina kerajaan, UMNO dan kepimpinannya yang anda dukungi sejak
dari 1982 (selama 16 tahun sebelum dipecat).
"Selepas mendengar cercaan
dan kutukan anda terdahap kerajaan, parti dan kepimpinan yang pernah
menjulang anda sebegitu cepat untuk naik ke jawatan Timbalan Perdana
Menteri, saya terus hilang rasa hormat!," katanya kesal dengan sikap sebenar Anwar itu.
Jelas pensyarah di universiti terkemuka di Australia itu, tindakan Anwar itu seolah-olah seorang isteri yang memburuk-buruk, membuka pekung rumahtangganya setelah diceraikan suami meskipun dia menerima layanan istimewa oleh suaminya.
"Anda (Anwar)
ibarat seorang isteri yang diceraikan dan kemudiannya menceritakan
kepada umum kononnya bekas suami anda amat buruk perangainya sedangkan
sewaktu 16 tahun bersama anda ditatang bagai minyak yang penuh!," tegasnya.
Mengulas mengenai "permohonan maaf" Anwar dan PKR terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam, Radzi berpandangan bahawa ramai penyokong tegar PKR sendiri akan hilang rasa hormat pada suami Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu.
Kataya, permohonan maaf seperti itu turut akan menyebabkan seluruh rakyat makin ragu pada keikhlasan momokan slogan "ketuanan rakyat" yang dilaungkan Anwar selama ini.
Berikut adalah status penuh pensyarah tersebut:
Dalam bulan ini 16 tahun lalu, anda dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Semasa itu saya sedang belajar di Melbourne dengan sumber berita dari Malaysia yang agak terhad. Kali pertama mendengar berita anda dipecat, saya agak kecewa dengan tindakan Dr Mahathir memecat pemimpin yang pada masa itu saya kagumi.
Namun, sejurus selepas dipecat dari jawatan dan dibuang dari UMNO, anda terus mengutuk dan menghina kerajaan, UMNO dan kepimpinannya yang anda dukungi sejak dari 1982 (selama 16 tahun sebelum dipecat). Selepas mendengar cercaan dan kutukan anda terdahap kerajaan, parti dan kepimpinan yang pernah menjulang anda sebegitu cepat untuk naik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, saya terus hilang rasa hormat! .
Bukan kerana saya totok UMNO, tetapi kerana anda ibarat seorang isteri yang diceraikan dan kemudiannya menceritakan kepada umum kononnya bekas suami anda amat buruk perangainya sedangkan sewaktu 16 tahun bersama anda ditatang bagai minyak yang penuh!.
Melihat fe’el anda dalam krisis MB Selangor dan membaca permohonan maaf anda kepada DYMM Selangor semalam, saya rasa ramai yang dalam masa 16 tahun ini masih menyimpan rasa hormat kepada anda mula meragui keikhlasan momokan “ketuanan rakyat” anda!!
Udah-udah la Bung!!