Fitnah Pindah Makam Rasulullah: 'The Independent' Bakal Disaman Jutaan Ringgit?


Akhbar harian Inggeris, The Independent, berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang kerana dikatakan telah menyebar berita fitnah berhubung perancangan memindahkan makam Rasulullah dari Masjid Nabawi.

Kenyataan itu ditegaskan oleh Jurucakap Sidang Redaksi Harian Arab News, Mowafaq Al-Nowaiser berkata, pihaknya kini sedang mempertimbangkan untuk kenakan tindakan undang-undang terhadap akhbar inggeris itu.

“Kami membincangkan kemungkinan itu bersama peguam kami,” katanya yang dipetik dari laman Utaranews.com

Mowafaq turut menuduh akhbar berkenaan juga turut mencuri artikel yang ditulis seorang wartawannya. 

Harian Arab News kelmarin menyiarkan kenyataan Mowafaq yang turut menyifatkan akhbar The Independent juga keliru dalam menterjemahkan artikel berkenaan. 

Selain itu, bantahan oleh Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci turut disiarkan oleh Harian Arab News berhubung penyiaran artikel The Independent itu, 

Jurucakap Harian Arab News, Ahmed Al-Mansouri berkata, dokumen yang digunakan untuk penulisan artikel berkenaan tidak mencerminkan keputusan pemerintah Arab Saudi.

“Ini sekadar pandangan peribadi seorang penyelidik yang menjelaskannya melalui kajian dilakukannya dan tidak langsung menggambarkan pandangan kerajaan,” kata Al-Mansouri. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com