Seorang remaja perempuan mengahwini anjing dalam majlis besar-besaran
dihadiri sekurang-kurangnya 70 orang semata-mata untuk ‘membuang sial’
yang dibawanya.
Mangli Munda, 18, bersetuju berbuat demikian selepas orang tua di
kampungnya memberitahu ibu bapanya satu-satunya cara bagi mengelak
remaja berkenaan membawa kemusnahan kepada keluarga dan penduduk di
situ.
“Orang tua di kampung ini percaya perkara buruk akan berlaku jika
saya berkahwin dengan lelaki buat masa ini. Memilih anjing sebagai
pengantin bererti sial itu akan diturunkan kepada haiwan berkenaan.
“Ini akan memastikan lelaki yang saya kahwini kelak bernasib baik dan panjang umur,” katanya.
Bapanya, Sri Amnmunda bersetuju dengan pendapat orang kampung dan turut mencarikan ‘pengantin lelaki’ untuk Mangli.
“Kami diarahkan mengadakan perkahwinan secepat mungkin untuk menghapuskan sumpahan terhadap anak saya,” katanya.
Percaya atau tidak ini bukan kali pertama perkahwinan seumpama itu diadakan di kampung berkenaan.
“Ia juga dilakukan di kampung lain. Memang kami semua percaya dengan sumpahan seperti itu,” kata Sri.
Ibunya Seema Devi berkata, keluarganya membelanjakan wang yang banyak
untuk majlis berkenaan, selain memberi penghormatan penuh kepada Sheru,
sama seperti mana-mana pengantin lelaki.
Perkahwinan itu tidak memberi kesan terhadap kehidupan Mangli malah
dia boleh berkahwin kelak tanpa perlu menceraikan ‘suaminya’ itu.
“Saya diberitahu ramai gadis melakukan perkahwinan seperti ini dan
mampu hidup bahagia selepas itu. Jadi saya juga boleh mengahwini lelaki
idaman saya kelak,” katanya.
Dia kini perlu menjaga haiwan berkenaan untuk beberapa bulan akan datang. – Agensi