Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shahrom Maarof berkata, Pengarah muzik Datuk Ramli MS perlu mendaftarkan perkahwinannya dengan penyanyi Noor Hasilah Hassan (Alyah) dalam masa enam bulan dari tarikh pernikahan mereka.
Kegagalan pasangan itu berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan boleh disabitkan kesalahan dan boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 31 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
"Secara dasarnya pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu dengan hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di bawah enakmen tersebut.
"Sebaik-baiknya sejurus kembali ke Malaysia pasangan yang menetap di negeri Selangor terus hadir di hadapan mana-mana Pendaftar di negeri ini dengan mengemukakan surat perakuan nikah dan dokumen berkaitan untuk mengesahkan perkahwinan itu telah berlaku," kata Shahrom yang dipetik dari laman Utaranews.com.
Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh pada Selasa lalu telah hadir ke pejabat JAIS bagi menyerahkan passport perjalanan antarabangsa dan buku pernikahan miliknya dan isteri.
Perkahwinan Ramli dan Alyah terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa JAIS membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu.
Kedua-dua pasangan tersebut mengaku telah berkahwin pada 18 Mac 2013 lepas di Batam, Indonesia.
Dalam pada itu, Shahrom berkata, pihak penguatkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pasangan itu memandangkan mereka tidak mendaftarkan perkahwinan yang sudah menjangkau usia setahun lima bulan.
"Jika jelas peraturan itu dilanggar maka pasangan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 35.
"Bagaimanapun kes Ramli dan Alyah masih diperingkat siasatan dan mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan sama ada perkahwinan tersebut ada mendapat kebenaran di luar dan dalam negara dan perkara-perkara berkaitan sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan," jelasnya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com