Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan cuba menghasut anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang agar tidak akan tunduk sama sekali dengan amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengambil tindakan terhadap pasukan keselamatan tidak berdaftar itu.
Guan Eng juga telah mencabar Ketua Polis Negara untuk adakan perbahasan terbuka tentang PPS walaupun Khalid mengesahkan bahawa PPS adalah satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 kerana tidak mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Walaupun kami tidak ada kekuatan seperti Ketua Polis Negara, kami tidak akan tunduk kerana satu nilai sahaja iaitu kebenaran. Kalau beliau (Khalid) benar-benar rasa beliau benar, saya cabar Ketua Polis Negara untuk adakan satu perbahasan terbuka tentang PPS,
"Beranikah anda sebagai Ketua Polis Negara untuk mengadakan perbahasan tentang ucapan beliau yang sungguh tidak bertanggungjawab menggunakan kuasa untuk menangkap (anggota exco) Phee Boon Poh dan juga mengambil keterangan Ketua Menteri,
"Kerajaan negeri tidak akan tunduk sama sekali dengan ugutan beliau (Khalid)...mungkin saya nak tanya bilakah giliran saya untuk ditangkap...saya tunggu sama beliau," kata Guan Eng yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.
Tindakan Guan Eng ini dilihat biadap kerana seolah-olah mencabar kewibawaan pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara. Ini juga berkait rapat dengan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang digembar-gemburkan pembangkang.
Akta Hasutan baru-baru ini digunakan ke atas pemimpin pembangkang termasuk dua Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan N. Surendran, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Adun Seri Delima, RSN Rayer.
Semalam, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh.
Polis juga turut mengambil keterangan Guan Eng dan Adun Seri Delima RSN Rayer. Guan Eng berada di IPD Timur Laut sehingga pukul 3.30 pagi.
Khalid dalam Twitternya semalam meminta mereka yang bertanggungjawab terhadap PPS segera menyerah diri sebelum polis menyerbu rumah mereka. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com