Guan Eng Tak Faham Undang-Undang Tubuh Kerajaan - Adun PAS

Shah Alam – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Sallehen Mukhyi menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng terhadap dirinya dan 3 lagi EXCO PAS Selangor sebagai pengkhianat disebabkan dia tidak faham Undang-Undag Tubuh Kerajaan.

Sallehen berkata, tindakan mereka untuk kekal menyokong Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah untuk mempertahankan kerajaan negeri dari jatuh.

Jelasnya lagi, dia bersama 3 EXCO tidak berniat menjadi musuh kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetapi ia dilakukan kerana mahu menjadi ‘penyelamat’ dalam kemelut Pakatan Rakyat (PR).

"Lim mungkin tak faham Undang-Undang Tubuh Negeri. Sejak awal saya sebut empat orang exco PAS menjadi benteng terakhir Pakatan Rakyat.

"Jangan label exco PAS sebagai pengkhianat," katanya  dipetik Harakah Daily kepada pemberita selepas menghadiri upacara majlis angkat sumpah menteri besar Selangor baharu Mohamed Azmin Ali.

Dalam kenyataan Guan Eng sebelum ini, dia menyelar tindakan 4 orang EXCO PAS dalam kerajaan negeri Selangor sebagai pengkhianat PR kerana menyokong pentadbiran Abdul Khalid sehingga menyebabkan 6 orang EXCO dari PKR dan DAP telah dipecat oleh bekas Menteri Besar Selangor itu.

Menurut Guang, tindakan Sallehen dan 3 EXCO PAS iaitu Iskandar Samad (ADUN Chempaka), Dr Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) serta Dr Halimah Ali ( Selat Klang) tidak melambang semangat kesepakatan dan boleh dianggap musuh dalam PR.

Sementara itu, Sallehen menyelar setiap tuduhan Guan Eng kepada mereka dan menganggap tindakan EXCO PAS membolehkan kerajaan negeri Selangor terus menjadi milik PR.

"Sebab 4 exco PAS inilah maka kerajaan ini boleh bertahan, dan kita dah ikut peraturan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor," ujarnya lagi. – KedahNews.com/ Mohd Shahir Shukor