Guan Eng Tuduh Najib Sebagai 'Munafik'


Setiausaha Agung DAP,  Lim  Guan Eng menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang munafik kerana gagal mengotakan janjinya dalam memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Guan Eng berkata, tindakan Najib yang sebelum ini mengeluarkan kenyaatan bagi memansuhkan akta berkenaan ketika di wawancara oleh BBC World News pada tahun 2012 dilihat sebagai satu janji kepada seluruh rakyat di negara ini.

Menurut Guan Eng lagi, kegagalan Najib mengotakan janjinya itu membuktikan dia adalah munafik serta perlu akur konsep 1Malaysia yang dijalankan oleh Perdana Menteri sebagai tidak berjaya.

"Najib hanya perlu mengakui gabungan sederhana beliau dan konsep 1Malaysia menemui kegagalan baru-baru ini.

"Adalah menarik untuk diambil perhatian Najib baru-baru ini menubuhkan laman web peribadi baru untuk menjauhkan dirinya daripada www.1malaysia.com.my yang penuh dengan janji-janji yang tidak tertunai." Ujar Guan Eng dipetik Malaysia Insider.

Sementara itu, Guan Eng menyelar tindakan penahanan beberapa pemimpin pembangkang berhubung kenyaatan berkaitan isu tersebut dilihat tidak adil kerana ia hanya membabitkan golongan ‘terpilih’ daripada DAP.

"Ini menunjukkan pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara, yang ditentang DAP.

"Tidak ada tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau pemimpin Umno yang lain kerana membuat kenyataan kesat terhadap bukan Melayu dan bukan Islam." Ujarnya lagi.

Tambah Guan Eng, kenyataan yang dilakukan oleh Pensyarah Undang-Undang Malaya, Profesor Azmi Sharom dilihat lebih berunsur hasutan dan perlu didakwa kerana tindakannya mengeluarkan pandangan jelas menunjukkan ia lebih terarah kepada akademik dan menyifatkatnya sebagai tidak menghormati kedaulatan undang-undang.

"Walaupun Putrajaya sibuk mendakwa rakyat Malaysia, masalah asas hutang yang tinggi dan defisit belanjawan tidak ditangani.

"Hutang negara meningkat daripada RM266 bilion kepada RM542 bilion antara 2007 dan 2014," katanya.

Jelas Guan Eng lagi, peningkatan hutang Negara turut mendapat perhatian Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bimbang dengan eksploitasi kewangan 1MDB.

"Hutang isi rumah adalah yang kedua tertinggi di Asia pada 87% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia. Peningkatan kos hidup adalah masalah yang serius untuk kumpulan berpendapatan rendah."

"Hutang 1MDB kini RM38 bilion dan pendapatan operasi tidak mencukupi untuk menampung bayaran faedah," katanya.

"Memandangkan Malaysia bersedia untuk meraikan Hari Malaysia pada 16 September, hak dan perasaan kita sedang diinjak-injak oleh pelampau." –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor