ADAKAH manusia fikir mereka
dibiarkan dengan mengatakan: “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?
Sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH SWT
pasti mengetahui orang yang benar dan orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut:
2-3)
Kadangkala, saat diuji kita pasti
berasakan kitalah yang paling teruji. Ada yang tidak kurang menyalahkan takdir.
Tatkala ALLAH SWT hadirkan ujian dalam kehidupan, kita mengharapkan dugaan itu
segera berlalu tanpa berdoa kepada ALLAH SWT untuk hadirkan hadiah jalan keluar
dari masalah.
Apabila berdepan dengan ujian,
sering kali air mata kita jatuh di sejadah cinta. Sudah pasti kita segera
mengadu kepada ALLAH SWT segala keluh kesah kita.
Jika diperhati ayat dari Surah
Al-Ankabut itu, ALLAH SWT menyatakan tujuan seseorang manusia itu diuji adalah
untuk kita melihat siapakah antara kita yang benar dan yang berdusta.
ALLAH SWT tidak menurunkan
sesuatu ujian itu sia-sia. ujian itu adalah tanda kasih sayang-Nya kepada kita.
ALLAH SWT juga timpakan ujian
untuk menghapus dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bila mana sesuatu ujian itu
hadir, ALLAH SWT pasti menjanjikan darjat yang istimewa di sisi-Nya hanya bila
kita sabar dan syukur menghadapi ujian yang hadir. ALLAH SWT juga memberi ujian
kepada kita untuk memberi pengalaman kepada kita supaya jangan tersilap untuk
melangkah ke hadapan.
Ketika perang Uhud, ALLAH SWT
menurunkan ujian kepada sahabat dengan keadaan yang hampir kalah. Mereka diuji
dengan harta rampasan perang. Ujian ini ALLAH SWT turunkan sebagai pengajaran
kepada sahabat dan kita semua supaya nanti tidak akan mengulangi kesilapan yang
sama.
Dalam menempuhi ujian dan dugaan
yang disediakan, sebenarnya kita mampu mempelajari sesuatu. ALLAH SWT
menurunkan ujian berserta hikmah di baliknya. Pelbagai perkara yang kita boleh
pelajari dan gali daripada ujian yang dihadapi.
Antara perkara yang boleh kita
pelajari ialah dengan ujian yang kita tempuhi, ALLAH SWT sebenarnya mahu kita
berfikir dan merasai harapan dalam hidup. Ujian yang menimpa adalah sebagai
pengajaran kepada kita.
Apabila ALLAH SWT memberi kita
ujian, kita yang diuji ini merasakan ada harapan di balik ujian. Jika kita
sakit, harapannya kita sembuh. Jika kita diuji dengan kemiskinan, harapannya
akan keluar dari kemelut kemiskinan. Andai diuji dengan anak, sudah pasti
harapannya kita mahukan anak kita menjadi anak yang baik.
Harapan inilah rahsia kejayaan
bagi manusia. Orang yang hidup tanpa harapan adalah orang yang tiada matlamat
dalam hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat...” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Di sini kita dapat lihat di mana
ALLAH SWT menceritakan terus kepada hari akhirat. Kepada sesuatu yang jauh.
ALLAH SWT tidak menceritakan perkara yang dekat dengan kita, tetapi sesuatu
yang cukup jauh, yang perlu kita membuat persiapan untuk sampai kepadanya. Jika
tidak, kita tidak mungkin akan sampai.
Begitulah ujian. ALLAH SWT
hadirkan supaya kita punya harapan. Bila kita dihimpit dengan pelbagai ujian,
kesusahan dan kesulitan, maka kepada siapa kita akan pergi? Manusia ini
fitrahnya jika ditimpa kesusahan, kesulitan, dia akan mencari suatu kuasa yang
menenangkannya.
Kita akan cari satu kuasa yang
kita boleh bersandar padanya. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai tuhan
sekalipun, inilah fitrahnya. Bagi kita sebagai Muslim, kita meletakkan ALLAH SWT
sebagai sandaran yang utama.
Nabi Muhammad SAW sejak mula lagi
menyuburkan jiwa sahabat dengan harapan yang sangat hebat iaitu untuk menjadi
manusia yang dimuliakan ALLAH SWT di dunia dan di akhirat.
Nabi Muhammad SAW memulakan
perjuangan dengan mengangkat kembali syiar Islam sehingga terbangunnya Kota
Madinah. Untuk membangunkan Kota Madinah bukan sesuatu yang mudah, ia penuh
dengan ujian. Di setiap ujian itu, ada harapan. Dengan harapan itulah kita
bergerak ke depan.
Perkara kedua yang kita dapat
pelajari daripada ujian yang menimpa ialah kita melihat ujian sebagai sebuah
ilmu yang ALLAH SWT ingin tunjukkan kepada kita. Jatuh bangun dalam kehidupan
adalah ilmu buat kita. Ada pepatah bijak pandai mengatakan, “Sebelum kita jumpa
jalan kebenaran, pasti kita akan tersesat beberapa jalan.”
Seperti hidup kita, sepanjang
kita melalui jalan kehidupan, pastinya beberapa kali kita tersasar, tersilap
memilih jalan. Waktu kita dalam kesesatan itu, ALLAH SWT hadirkan ujian.
Lalu kita tersentak! Di waktu itu
jugalah kita berasa ingin kembali. Melalui jalan inilah ALLAH SWT memberi
hidayah kepada kita. ALLAH SWT memberi ujian, dan dalam ujian itu, ALLAH SWT
memberi ilmu kepada kita.
Apabila kita diuji, mintalah
kepada ALLAH SWT supaya diberi kesabaran dan kefahaman dalam menghadapi setiap
ujian yang berlaku. Kita juga harus faham akan takdir ALLAH SWT.
Dalam hidup kita, ada sesuatu
yang kita inginkan tetapi tidak kita peroleh dan banyak benda yang kita tidak
mahu dalam kehidupan kita tetapi kita peroleh. Itulah yang terbaik buat kita
yang kita lihat ia sebagai ujian buat kita.
ALLAH SWT berfirman:
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.” (Surah Al-Syarh: 5)
Begitu juga bait-bait lirik lagu
ini, “Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan, setelah kabus berlalu pasti
cerah kembali.” Ujian takkan selamanya untuk hamba-Nya yang sabar.
Ujian yang diturunkan kepada kita
adalah salah satu cara untuk menyemai benih-benih cinta kepada ALLAH SWT.
Ujian yang menimpa terus menerus
adalah kerana ALLAH SWT ingin kita kembali kepada-Nya. Inilah salah satu cara
untuk kita mengenali ALLAH SWT dan lebih mencintai ALLAH SWT. ALLAH SWT menjanjikan
nikmat yang lebih besar kepada manusia di akhirat kelak.
ALLAH SWT berfirman:
"... kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa...” (Surah An-Nisa': 77)
Bila diberi ujian, di sinilah
kita mampu mengenal siapa diri kita yang sebenar. Orang yang kuat iman, yang
memahami siapa dirinya yang sebenar, walau sekuat mana ujian yang datang, dia
tetap akan tenang. Hatta maut sekalipun, dia terus akan tenang.
Ini kerana dalam jiwanya telah
terbangun jiwa yang hebat. Rasa cinta yang begitu hebat untuk bertemu ALLAH SWT.
Segala ujian yang kita terima adalah sebuah persiapan untuk menguatkan jiwa
kita menuju kepada cinta ALLAH SWT.
Pelbagai hikmah dan pengajaran
yang boleh kita kutip daripada setiap ujian yang menimpa. Ia boleh jadi cara
untuk membawa kita kepada ALLAH SWT dan hari akhirat.
Bila ujian ditimpa kepada kita,
ia adalah salah satu cara untuk menghapus dosa, untuk diberi peningkatan darjat
di sisi ALLAH SWT atau sebagai pengalaman kepada kita supaya lebih matang dalam
kehidupan.
Sumber: Sinar Harian