Hafiz Hamidun Sedia Jihad Di Syria?

PERJUANGAN di Timur Tengah seperti di Syria bukanlah perkara baharu malah, sebelum ini ramai umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pergi berjuang dan terkorban di sana.

Terbaharu, rakyat Malaysia, Mohd Lotfi Ariffin, turut melalui insiden yang sama apabila terkorban di bumi Syria.

Pun begitu, bukan sahaja rakyat biasa, malah golongan selebriti juga turut terlibat dalam perjuangan ini apabila bekas pemuzik kumpulan terkenal di era 90-an, Akel Zainal, turut berada di sana.

Melihat isu ini dari sudut positif, penyanyi terkenal, Hafiz Hamidun, lebih selesa menyifatkan ia sebagai hak kepada individu dalam membuat pilihan.

Menurut Hafiz, walaupun pelbagai reaksi masyarakat mengenai perkara ini, ia bergantung kepada individu itu sendiri dalam menilai erti perjuangan mereka.

"Dalam Islam, mati syahid ertinya Muslim yang meninggal dunia ketika berperang atau berjuang di jalan ALLAH SWT dalam membela kebenaran atau mempertahankan hak untuk menegakkan agama.

"Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam dan menjanjikan ganjaran syurga bersama para syuhada. Walaupun ada yang menganggap ianya terlalu ekstrem namun ianya terserah kepada individu itu sendiri.

"Namun, harus diingatkan, mati syahid ini bukan hanya diperoleh menerusi perang semata-mata. Sekiranya kita terkorban dalam menuntut ilmu atau mempertahankan agama, Insya-ALLAH, akan mendapat ganjaran yang sama. Sesungguhnya, syahid itu pelbagai cara," katanya.

Tambah pemuzik dan komposer ini, perjuangan di negara Islam ini ada baik buruknya dan bergantung kepada situasi.

"Relevan atau tidak, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Namun, sekiranya masih ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan tidak kira dalam keluarga, kewangan mahupun hal-hal lain, dahulukan apa yang lebih penting.

"Cabaran syahid juga bukan mudah kerana pasti ada yang akan mempersoalkan perkara itu. Namun, syahid atau tidak seseorang itu, bukan kita yang tentukan.

"Kita tidak mampu menghalang siapa sahaja yang mahu ke sana. Malah, sekiranya satu hari nanti, kesemua tanggungjawab saya sudah selesai, saya juga sanggup ke sana untuk berjihad," katanya lagi.

Kongsi perkara baik

Sebagai selebriti yang mempunyai ramai kelompok peminat, Hafiz menggunakan laman sosial sebaik mungkin sebagai penghubung antara dirinya dan masyarakat.

Malah, jika dilihat menerusi laman Twitter dan Facebook milik penyanyi ini, kebanyakan 'status' yang dimuat naik menerima puluhan ribu 'likes' dan 'share'.

Menurut Hafiz, dia menyedari situasi ini di mana masyarakat kita amat menyukai perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

"Saya tidak meletakkannya sebagai satu cara dakwah kerana ia juga boleh jadi motivasi dan pesanan sesama kita. Saya bersyukur kerana orang menerima perkara itu dan membawa kepada kebaikan.

"Malah, perkara yang baik perlulah dipanjangkan (share), sebagai satu peringatan kepada orang lain. Malah, kebanyakan 'quote' yang saya gunakan ringkas agar ianya lebih mudah untuk difahami.

"Saya berharap agar selain daripada aktiviti seharian saya, peminat juga akan dibekalkan dengan pengisian yang berguna," katanya. -Sinar Harian