Harapan baharu kepada MAS

Bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 negara hari ini, Malaysia Airlines (MAS) juga harus 'dimerdekakan' daripada beban hutang dan kerugian berpanjangan.
 
Pelan pemulihan MAS bernilai RM6 bilion merupakan langkah paling drastik dalam sejarah perniagaan negara ini. Episod ini juga boleh diterjemahkan menjadi kisah apabila "Najib dalam keadaan terdesak" boleh memulangkan kembali kritikan yang mengatakan beliau terlampau berlembut dalam banyak isu ekonomi negara.
 
Kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak: "Ini adalah pelaburan, bukan bail out (langkah menyelamat), bukan selamatkan (MAS)."
 
Perdana Menteri sebelum ini ada menyatakan MAS mesti diperbaharui supaya syarikat penerbangan ini berada pada kedudukan yang kuat serta mapan. Untuk mencapai matlamat dan perubahan besar-besaran serta proses baik pulih yang lengkap perlu dilakukan. Perubahan sedikit demi sedikit tidak akan menghasilkan apa-apa.
 
Pengumuman Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dengan 12 pelan bagi memulihkan MAS yang diumumkan oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar pada petang Jumaat (29 Ogos) kelmarin memang dijangkakan tetapi agak mengejutkan dengan langkah berani itu.
 
Hakikatnya syarikat MAS yang lama akan dikenang sebagai sejarah apabila MAS yang baharu akan dilahirkan pada 1 Julai 2015.
 
Perkara yang tidak dinyatakan secara terbuka ialah banyak punca yang menyebabkan bertahun-tahun MAS kerugian.
 
Banyak pihak mungkin sudah lupa bail out berharga hampir RM1.8 bilion pada 2001 dahulu. MAS ditinggalkan dengan beban hutang hampir RM10 bilion. Faktor hutang itulah yang menyebabkan MAS sampai sekarang tak mampu pulih?
 
Kedudukan MAS yang menjadi syarikat penerbangan milik kerajaan telah mempengaruhi pemikiran sesetengah kakitangannya dan orang awam bahawa kes MAS selalu mendapat layanan istimewa kerajaan. Oleh itu kakitangannya tidak perlu bersaing dan beroperasi dengan cekap sebagaimana syarikat penerbangan lain.
 
Sejak sekian lama, pemikiran sedemikian bagaikan sudah ditanamkan dalam kepala yang mengakibatkan sikap warga MAS tidak berubah bersesuaian dengan perubahan landskap industri penerbangan semasa.
 
Kini masanya telah tiba untuk mengubah budaya kerja dan kerajaan telah menetapkan MAS akan berada dalam entiti syarikat penerbangan yang baharu dan MAS yang lama akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia dan ditutup buku. Rawatan untuk memulihkan MAS bukan dengan cara tampal sana sini tapi perlu dibaik pulih sepenuhnya.
 
Pada 2011, MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion; tahun 2012 kerugian bersih sebanyak RM431 juta; tahun 2013 pula, MAS masih mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM1.174 bilion. Bagi tempoh suku pertama tahun 2014 ini pula, MAS mencatat kerugian sebanyak RM443 juta dan pada suku kedua kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta. 
 
Kerugian MAS bukanlah disebabkan barisan pengurusannya, turun naik harga minyak, penurunan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, persaingan harga tiket dengan syarikat penerbangan tambang murah dan misteri kehilangan MH370 dan nahas MH17, tetapi sebenarnya syarikat itu mewarisi hutang 'mega' yang entah bila mampu dilunaskan.
 
Ada segelintir pihak beranggapan lebih baik jika kerajaan menutup sahaja MAS daripada terus menanggung kerugian. Oleh itu tidak wajar kerajaan melalui Khazanah membelanjakan RM6 bilion untuk pelan pemulihan MAS.
 
Namun Perdana Menteri Najib Tun Razak berkata pelan itu turut mengambil kira prinsip asas untuk terus mengekalkan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional.
 
Suntikan pelaburan oleh Khazanah kena pada masanya. Sebagai rakyat Malaysia usah asyik mengutuk dan mengkritik sahaja, MAS perlukan sokongan dalam usahanya untuk memulihkan kembali syarikat penerbangan negara ini. 
 
Ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kesungguhan politiknya bagi menyokong pelan pemulihan MAS.
 
Najib menaruh keyakinan Khazanah akan memastikan MAS kembali menjadi organisasi yang mapan dan memberi pulangan ke atas setiap sen daripada RM6 bilion yang dilaburkan.
 
Khazanah akan membelanjakan RM6 bilion bagi penstrukturan semula MAS dengan separuh daripadanya digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan entiti syarikat penerbangan baharu dan selebihnya iaitu RM1.4 bilion dibelanjakan untuk menyahsenaraikan MAS yang lama dan RM1.6 bilion lagi bagi tujuan pemberhentian pekerja dan pembatalan kontrak-kontrak pembekalan oleh vendor.
 
Dalam usaha pemulihan MAS ini Khazanah perlu mendapatkan kerjasama terbaik daripada pihak pengurusan, pekerja, kesatuan, pemiutang, vendor dan pihak-pihak lain yang terlibat. Sudah tentu beberapa halangan terpaksa ditempuhi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik ini.
 
Berkaitan nasib kakitangannya pula, kira-kira 6,000 kakitangan akan diberhentikan kerja di bawah pelan yang termasuk skim pemberhentian sukarela (VSS) dan 3,500 pekerja MAS ditawarkan pekerjaan dalam syarikat-syarikat lain di bawah Khazanah yang memerlukan latihan semula. 
 
Keputusan bergantung pada penerimaan kakitangan terhadap VSS atau tidak.
 
Bagaimanapun banyak kakitangan akan tertanya-tanya bagaimana mereka dapat membantu pelan pemulihan itu jika mereka sendiri tidak pasti sama ada kekal atau diberhentikan kerja. Jawapan pada soalan ini ialah terima hakikat dan cuba dapatkan perundingan yang terbaik.
 
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, pemulihan syarikat penerbangan negara kali ini lebih menyeluruh dan diharap dapat mengembalikan MAS sebagai entiti perniagaan berdaya saing.
 
"Pemulihan besar-besaran MAS secara menyeluruh ini perlu dipastikan berjaya bagi mengelak pembaziran wang rakyat," katanya. 
 
Beliau menyeru pihak pengurusan MAS dan kesatuan sekerja bekerjasama mencari titik penyelesaian dan memberi sokongan kepada usaha pemulihan MAS ini.
 
"Ini kerana, selain keberkesanan model perniagaan, kejayaan pemulihan MAS turut terletak di tangan mereka."
 
Tegas Ahmad Fauzi lagi, beberapa usaha pemulihan telah dilakukan dan usaha MAS kali ini mestilah yang terakhir bagi membolehkan syarikat berkenaan kembali mencatat keuntungan.
 
"Pada saya dengan izin, this is the mother of all restructuring as far as MAS is concerned kerana kita telah selamatkan MAS beberapa kali."
 
"Oleh sebab MAS sebagai icon, kalau kita harus terus menyelamatkannya beberapa kali juga tidak adil kepada wang rakyat dan kerajaan. Saya hanya berharap bahawa kali ini adalah yang terakhir MAS diselamatkan secara komprehensif," kata Ahmad Fauzi.
 
Keupayaan Khazanah dalam memulihkan syarikat penerbangan negara disifatkan memberi harapan baru kepada MAS. -Utusan