Ingkar Titah Sultan: Rakyat Selangor Berhimpun Protes PKR dan DAP!


Kira-kira 100 orang berhimpun di sebelah Masjid Diraja Sultan Suleiman di sini hari ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kebiadapan PKR dan DAP kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Himpunan Rakyat Menjunjung Kasih Keatas D.Y.M.M Sultan Selangor itu, yang disertai anggota badan bukan kerajaan seperti Waris Malaya, Persatuan Penduduk Kampung Jawa dan Pertubuhan Belia 4B Kampung Raja bermula kira-kira 5 petang dan berakhir sejam kemudian, semalam.

Mohd Khusyairi Abdul Aziz yang menyertai perhimpunan itu berkata tindakan PKR dan DAP jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan tidak menghormati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Mohd Khusyairi yang juga Pengerusi Kelab Sosial dan Energetik Selangor, berkata pihaknya menyokong penuh sebarang keputusan Sultan Selangor.

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

Namun, PKR dan DAP masing-masing telah ingkar dengan mengemukakan satu nama yang sama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com