Istana Titah Amaran, Anwar Jangan Kelirukan Rakyat Kalau Tak Tahu Fakta

SHAH ALAM - Istana Selangor hari ini menafikan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata maklumat yang dikeluarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak tepat dan dilihat sebagai mengelirukan rakyat.

Beliau menjelaskan semasa pentadbiran kerajaan negeri oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pemilihan calon menteri besar yang layak akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam Majlis Menghadap untuk diberi perkenan.

Katanya, menerusi senarai calon tersebut, Sultan Selangor akan memilih hanya satu calon untuk dilantik bagi jawatan berkenaan.

"Namun pada (pilihan raya umum) 2008, keputusan pilihan raya di Selangor tidak menyebelahi BN sementara parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR pula bergabung untuk membentuk sebuah Pakatan Rakyat bagi mendapat majoriti untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.

"Pada ketika itu, Sultan Selangor menitahkan ketua-ketua parti dalam pakatan tersebut membincangkan calon menteri besar dan dalam majlis perbincangan itu, terdapat beberapa nama calon disyorkan," kata Mohamad Munir.

Justeru, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua parti dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan dua nama bagi calon menteri besar dan mereka kemudiannya sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan tersebut, katanya.

Mohamad Munir berkata disebabkan Abdul Khalid memenuhi kriteria dan menepati syarat yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor berkenan melantik beliau sebagai menteri besar.

Katanya, keadaan sedikit berbeza pada pilihan raya umum 2013 apabila pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyebabkan calon menteri besar mesti dipilih dalam kalangan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang tersebut.

Namun demikian katanya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyatakan Abdul Khalid tidak semestinya dikekalkan sebagai menteri besar Selangor dalam kempennya semasa pilihan raya tersebut.

"Sehubungan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar.

"Walau bagaimanapun, mereka menulis surat kepada baginda untuk mengesyorkan Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun baginda ada juga menerima penamaan calon lain.

"Namun, berikutan Abdul Khalid adalah penyandang jawatan tersebut sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan pihak istana dan juga rakyat Selangor, Sultan berkenan melantik semula Abdul Khalid sebagai menteri besar," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Munir menegaskan bahawa polisi pihak istana adalah untuk tidak mendedahkan nama atau maklumat mengenai calon menteri besar yang dikemukakan serta prosesnya namun keadaan yang memuncak memaksa istana mengeluarkan kenyataan untuk memberi penjelasan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihatkan Anwar supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor jika tidak mempunyai fakta tepat.
- BERNAMA