Jambatan Tok Pasai Digempur Lagi!

KUALA KEDAH - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar menggempur sarang dadah terbesar pada Program Jom Bersih di Jambatan Tok Pasai.

Bagaimanapun, tiada penagih kelihatan ketika serbuan dilakukan bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Setar, baru-baru ini.

Ketua Pegawai AADK Kota Setar dan Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin berkata, 30 kakitangan AADK dan MBAS membersihkan bawah jambatan tersebut.

“Melalui pengalaman, kawasan berkenaan didapati kawasan hitam najis dadah. Malah, antara 60 hingga 70 penagih dadah tegar ditahan setiap kali operasi dilakukan.

“Lebih membimbangkan, nombor telefon dan harga barangan dipercayai milik pengedar dadah jelas terpampang pada dinding bawah jambatan berkenaan,” katanya.

Katanya, pihak mereka memadam maklumat disyaki milik pengedar dadah dan mengecat semula cat baru supaya ia tidak berterusan menjadi sarang penagihan.

"Kami turut menggunakan jentera berat demi mengangkut sisa pepejal dan dahan pokok yang ditebang sekitar kawasan berkenaan.

"Komuniti Kampung Masjid Lama dan Kampung Lorong Mayat turut membantu menebas semak samun di lokasi terbesar penagihan dadah di kawasan itu," katanya.

Suria berkata, anak buahnya bersama kakitangan Pejabat Kesihatan Kota Setar membuat semburan sekitar kawasan bagi mengelakkan pembiakan nyamuk sehari sebelumnya.

"Usaha berkenaan diambil untuk memutihkan semula kawasan bawah jambatan, sekali gus mencegah aktiviti penagihan dadah di kawasan itu," katanya.

Tinjauan mendapati, bahagian bawah jambatan dijadikan port penagih dadah melampiaskan gian mereka agak tersorok di sebalik kediaman penduduk.

Meskipun, kawasan berhampiran laut berkenaan dipenuhi sampah sarap dan semak samun, namun ia tidak menghalang aktiviti penagihan dadah di situ. -Sinar Harian