Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar IKIMfm menilai erti kemerdekaan dalam Ibrah
Ibrah siri ke-20 membuka lembaran baru kisah Nabi Musa dan kaum
baginda, Bani Israel. Sempena negara menyambut kemerdekaan, Ustaz
Muhammad Syaari Ab Rahman membawa pendengar merenung erti kemerdekaan
yang sebenar.
Beliau mengambil contoh kisah Nabi Musa memerangi 'penjajahan'
iaitu kaumnya sendiri, Bani Israel. Beliau memulakan dengan bagaimana
Nabi Musa yang pernah tinggal di istana sebagai anak angkat Firaun
akhirnya melarikan diri bersama Bani Israel meninggalkan tanah tumpah
darahnya, Mesir ke Madyan.
Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah SAW yang begitu selesa
tinggal di Makkah bersama bapa dan datuknya, bahkan pernah ditawarkan
untuk menjadi memimpin Makkah juga meninggalkan tanah tumpah darah
Baginda.
Allah SWT memerintahkan Nabi Musa membawa keluar Bani Israel dari
Mesir menuju ke Palestin dengan melalui laluan selatan Semenanjung
Sinai. Di sinilah Allah SWT telah menunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani
Israel bagaimana dihancurkan Firaun dan tenteranya di Laut Merah.
Selepas Nabi Musa dan Bani Israel menyeberangi Laut Merah, Allah
SWT mewahyukan Nabi Musa untuk tidak menuju ke Palestin tetapi ke satu
lokasi yang paling hampir dengan tempat mereka diselamatkan daripada
Firaun.
Sebelum ini, Firaun sudah lama menyeksa dan membunuh anak-anak Bani
Israel di Mesir. Allah SWT telah memberi peluang kepada Bani Israel
menyaksikan sendiri 12 mukjizat yang Allah SWT berikan kepada Nabi Musa
termasuklah mukjizat terakhir iaitu tongkat Nabi Musa membelah lautan
yang menyelamatkan mereka daripada Firaun buat selamanya.
Permulaan kisah Yahudi, Zionis
Sudah pastilah mereka akan sujud dan mensyukuri nikmat keselamatan
yang Allah SWT berikan namun, sebaliknya diceritakan dalam al-Quran
mengenai Bani Israel dan ini adalah permulaan kisah Yahudi dan Zionis
yang kita kenali pada masa kini.
Beban berat perlu ditanggung oleh Nabi Musa untuk mengubah sikap,
sekali gus memerangi jiwa penyakit jahiliah yang telah merosakkan satu
bangsa yang pada asalnya dimuliakan Allah SWT.
Perjalanan merentasi Gurun Sinai menuju ke lokasi yang hendak
dibawa oleh Nabi Musa mengambil masa selama dua hari. Semasa dalam
perjalanan itu mereka berjumpa dengan satu kaum yang sedang menyembah
berhala, lalu Bani Israel meminta dibuat berhala.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami bawakan Bani Israel ke
seberang laut (Merah) itu, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang
tunduk dan patuh menyembah berhala mereka.
(Melihatkan yang demikian)
mereka (Bani Israel) berkata kepada Musa: Wahai Musa, buatlah untuk kami
satu tuhan berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.
Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil." (Surah al-A'raaf, ayat
138)
Belum pun 48 jam Bani Israel menyaksikan Firaun dan tenteranya
ditenggelami Laut Merah, mereka sedikitpun tidak merasa bersalah
sebaliknya meminta Nabi Musa untuk membina berhala untuk mereka.
Menurut ulama, Sheikh Rusydi al-Badrawy dalam kitabnya Musa wa
Harun, kenyataan Bani Israel ini menunjukkan mereka berada di bawah
pengaruh kepercayaan pagan, iaitu kepercayaan terhadap penyembahan
berhala.
Bani Israel sebelum ini terlalu lama dijajah oleh Firaun dan ia
telah memberi kesan bukan sahaja kepada cara hidup bahkan keimanan
mereka sehinggakan menyembah berhala dianggap tidak menyalahi syariat
Islam. Bani Israel tidak beriman kepada Allah SWT dengan sepenuh hati
mereka.
Cadangan bina berhala naikkan kemarahan Nabi Musa
Nabi Musa telah memerangi sifat jahiliah yang ada dalam jiwa Bani
Israel sebelum ini dan akhirnya menyelamatkan mereka daripada Firaun
tetapi cadangan mereka untuk membina berhala menaikkan kemarahan Nabi
Musa.
Seperti diceritakan dalam al-Quran, "Nabi Musa berkata lagi:
Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia
telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang seazam dengan kamu,
dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu?)" (Surah
al-A'raaf, ayat 140)
Tidak cukup kata-kata Nabi Musa menunjukkan kemarahan terhadap
sikap Bani Israel ini, Allah SWT turut berfirman yang bermaksud:
"Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang
menyeksa kamu dengan azab dan seksa yang seberat-berat dan
seburuk-buruknya." (Surah al-A'raaf, ayat 141)
Muhammad Syaari berkata, peristiwa ini pernah diingatkan oleh
Rasulullah SAW kepada sahabat dalam Peperangan Hunain. Semasa dalam
perjalanan menuju Peperangan Hunain, mereka telah melalui satu pokok
yang besar dan pada dahannya disangkut senjata (pedang).
Sebelum Islam, masyarakat jahiliah percaya dengan melakukan
demikian mereka akan diberikan kemenangan. Segelintir sahabat telah
meminta kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah buatkanlah untuk kami
Dzatu Anwath (tempat menggantungkan senjata) sebagaimana mereka memiliki
Dzatu Anwath."
Rasulullah SAW menegur kata-kata sahabat ini dengan bersabda:
"Allahu Akbar! Itulah tradisi (orang sebelum kalian) demi Allah yang
jiwaku ada di tangan-Nya, kalian benar-benar telah mengatakan suatu
perkataan seperti yang dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa:
Buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan."
(Riwayat Tirmizi)
Betapa sukar Nabi Musa untuk memerdekakan jiwa Bani Israel yang
telah lama dijajah oleh Firaun dari terus menyembah hawa nafsu mereka.
Di akhirnya, Muhammad Syaari mengajak pendengar bermuhasabah dengan
kehidupan manusia pada zaman kini.
Katanya, terdapat manusia yang mencari selain daripada Allah SWT,
menyembah hiburan, maksiat, kehidupan melalaikan sehingga lupa kepada
Allah SWT.
Beliau berkata, apakah manusia tidak berfikir dan merenung mengapa
Allah SWT memelihara jasad Firaun (Ramses II) untuk kita mengambil
iktibar daripadanya.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm