ALOR SETAR - Biarpun menggalas tugas yang besar, namun seorang warga
emas, di sini tidak pernah mengharapkan sebarang balasan mahupun upah
dan melakukan tugas dengan seikhlas hati.
Wan Bakhri Wan Taib, 66, berkata, dia tidak pernah mengharapkan
sebarang bayaran sebagai ganjaran perkhidmatannya terhadap desa
tercinta, Kampung Tanjung Seri, dekat sini.
Menurutnya, dia menggalas jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Seri lebih 20 tahun.
“Dulu, pakcik tak terima sebarang elaun perkhidmatan, sebaliknya
melakukan tugasan untuk membangunkan kampung dengan ikhlas tanpa
harapkan upah.
“Pakcik sanggup memegang amanah kerana ingin berbakti kepada masyarakat
setempat lain sekali gus memberi kemudahan kepada mereka,” katanya.
Wan Bakhri berkata, dia merasakan gajinya yang diperoleh sebagai
kakitangan kerajaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah,
di sini, sudah cukup untuk menyara kehidupannya.
"Sebab itu pakcik tak kisah korbankan wang ringgit, masa dan tenaga
demi membangunkan kampung seperti menaik taraf jalan tanah merah kepada
bertar.
"Pakcik reda melakukan tugasan kerana rasa tanggungjawab dan cintakan
kampung, walaupun adakalanya terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri,"
katanya.
Katanya, mesikpun ada onak duri ditempuhi untuk meyakinkan orang ramai
mengenai sesuatu perkara semasa perkhidmatan itu, dia tetap cuba
melakukan tugasan terbaik.
"Pakcik bersyukur dapat membantu penduduk kampung mendapatkan
kemudahan, antaranya seperti jalan, surau dan tiang elektrik sepanjang
pakcik berkhidmat.
“Alhamdulillah berkat kesungguhan sebelum ini, pakcik diberi
pengiktirafan apabila menerima sebuah trofi penghargaan pada 30 Ogos
lepas,” katanya.
Malah katanya, dia mengharapkan anak muda masa kini mengelakkan diri
daripada aktiviti tidak berfaedah, sebaliknya masa lapang dipenuhi kerja
kebajikan.
"Meskipun kerja kebaikan dilakukan adakalanya tidak dibalas, namun
seseorang itu perlulah berkorban jiwa raga untuk kemudahan ramai,"
katanya. -Sinar Harian