Kanak-Kanak Dicekik Sampai Mati, Ditanam Dalam Ladang Sawit

SUNGAI PETANI - Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sejak sebulan lalu akhirnya terjawab apabila ditemui ditanam dalam kawasan semak dekat sebuah ladang kelapa sawit.

Penemuan mayat Mohd Fazlin Abdullah dipercayai selepas polis menahan seorang lelaki, yang juga kenalan ibunya.

Tangkapan itu juga menjawab kepada misteri kehilangan kanak-kanak itu yang membawa kepada pembunuhannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, laporan kehilangan dibuat ibunya pada 11 Ogos lalu di rumah mereka dekat Sungai Karangan, Kulim.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, suspek yang menjaga kanak-kanak itu semasa kejadian tidak tahan akibat terlalu lama menangis menyebabkan dia bertindak mencekik mangsa.

“Menyedari mangsa tidak sedarkan diri, suspek dikatakan membawa mayat kanak-kanak terbabit ke kawasan ladang kepala sawit sebelum bertindak menanam mayat mangsa.

“Ahli keluarga bagaimanapun yang bimbang dengan kehilangan melakukan pencarian di beberapa kawasan namun gagal,” katanya.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati, pihaknya mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sebelum menahan suspek.

Siasatan turut membawa penemuan ke kawasan semak sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam bagi menggali kawasan itu.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui mayat mangsa yang ditanam di kawasan terbabit,” katanya.

Mayat  dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala suspek ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan. -Sinar Harian