NEW YORK CITY - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa
‘berendam’ selama lebih sejam dalam mesin basuh selepas tergelincir dan
terperangkap dalam alat itu.
Dejannah Price, 10, berkata dia hilang keseimbangan ketika membongkok untuk menarik keluar hamparan kecil dari mesin berkenaan.
Sebaik saja kejadian itu disedari ibunya, Diana Brown, wanita terbabit cuba mengeluarkan Dejannah tetapi gagal.
“Saya mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan Dejannah tetapi tiada satu pun yang berhasil. Akhirnya saya mengalah dan menghubungi polis,” katanya.
Kata Diana, walaupun anaknya ketawa terbahak-bahak kerana tersangkut dalam mesin basuh, dia tidak menganggap kejadian itu lucu.
Sementara itu, jurucakap polis Long Island berkata, sepasukan penyelamat dikejarkan ke rumah Diana tetapi sebelum memulakan tugas mengeluarkan Dejannah, mereka sempat ketawa kehairanan.
“Kami tertanya-tanya bagaimana budak berkenaan boleh termasuk ke mesin basuh itu,” katanya.
Jurucakap polis itu berkata, pada peringkat awal mereka juga gagal mengeluarkan Dejannah dari mesin itu dan terpaksa memecahkan alat berkenaan.
Dejannah pula bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius. -Mstar