KOTA KINABALU – Pembangunan Malaysia tidak lengkap tanpa Sabah,
kerana tanpa hasil yang diperolehi daripada sumber aslinya tidak
memungkinkan negeri seperti Kedah dapat membangun, kata Menteri Besar
Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini.
“Sama juga dengan Kedah yang mengeluarkan beras untuk semua negeri
termasuk Sabah pada harga subsidi bagi memastikan kelangsungan bekalan
makanan rakyat di negara ini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat
perwakilan Umno Penampang di sini.
Mukhriz, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata amalan
bantu-membantu antara negeri-negeri di Malaysia dipraktikkan sejak
merdeka lagi.
Katanya, ini kerana para pemimpin terdahulu telah memberi formula perpaduan bagi menjamin kemajuan bersama rakyat di negara ini.
Beliau turut mengingatkan anggota Umno Penampang untuk terus
mengukuhkan perpaduan bagi memastikan rakyat terus menyokong Umno dan
Barisan Nasional(BN).
“Saya bukan orang yang sesuai berkata mengenai perpaduan kepada orang
Sabah kerana Sabah lebih tahu erti perpaduan kerana mempunyai lebih
banyak suku kaum dan agama tetapi saya berharap amalan kesepakatan di
kalangan anggota Umno diteruskan. Jika tiada kesepakatan, rakyat akan
tolak kita,” katanya. – BERNAMA