SEDEKAH merupakan pemberian yang
diberikan oleh seseorang kepada insan yang memerlukan. Ia dilakukan untuk
meraih keredaan dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah taala. Sedekah juga menjadi salah satu amalan yang dapat mendekatkan
diri kepada Allah SWT sebagaimana amalan-amalan sunat yang lainnya.
Islam bukan sahaja mengajar kita
mendekatkan diri dengan-Nya melalui amal ibadah yang khusus seperti solat dan
berpuasa. Islam juga mendidik kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui
amal kebaikan kepada sesama manusia antaranya dengan bersedekah. Allah SWT
menyeru hamba-hamba-Nya untuk bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya
menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya
untuk menginfakkan sebahagian daripada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada
jalan kebaikan. Ini tidak lain agar ia menjadi pahala sedekah itu tersimpan di
sisi Allah SWT. Ini kerana apabila tibanya hari akhirat kelak, semua harta yang
melimpah ruah tidak ada nilainya lagi. Seseorang tidak mungkin dapat menebus
kesalahan dirinya ketika hidup di dunia meskipun dengan harta yang memenuhi
bumi.
Nilai pemberian
Sedekah tampak remeh di mata
sebahagian masyarakat namun di sisi Allah ia amalan yang begitu besar
ganjarannya. Mungkin sahaja nilai pemberian kita itu kelihatan kecil di mata,
namun ia mampu membuahkan pahala yang tak terhitung banyaknya. Allah SWT menyebutkan
secara ringkas gambaran pahala mengeluarkan harta di jalannya dengan firman-Nya
yang bermaksud:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)
Kadang-kala keengganan untuk
bersedekah atau mengeluarkan harta di jalan Allah bukan disebabkan kerana tidak
punya harta tetapi disebabkan perasaan takut harta yang dimiliki berkurang,
rugi dan pelbagai sangkaan buruk yang dibisikkan oleh syaitan. Gambaran ini
bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)
Sumber : Utusan