Kegiatan Judi Di Negeri Guan Eng Berjaya Dihidu PDRM

GEORGETOWN - Berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga tidak berjaya mengaburi mata  polis apabila dua premis judi haram yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Jalan Datuk Keramat di sini diserbu malam kelmarin.

Dalam serbuan oleh Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira jam 7 petang, merampas 29 mesin judi pelbagai jenis dan menahan 11 individu leka berjudi.

Dalam serbuan diketuai Inspektor Mohd Firdaus Yaakub, dua lelaki penjaga premis berkenaan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengenai premis berkenaan sebelum bertindak petang kelmarin.

“Mengikut aduan, kedua-dua premis ini dari luar dilihat seperti pusat hiburan keluarga namun di dalamnya mempunyai mesin untuk pelanggan membuat taruhan.

“Hasil pemeriksaan kita dapati pelbagai mesin judi seperti rolex, lumba kuda dan mesin ikan ada dalam kedua-dua premis itu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya, serbuan di premis pertama berjaya merampas 13 mesin judi manakala serbuan kedua mendapat 16 mesin.

Katanya, kesemua mesin dan individu ditahan dibawa balik ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1957. -Sinar Harian