Kejam! Wanita Dikurung Tiga Tahun Dalam Bilik Air Oleh Suami

wanita dikurung dalam bilik air

Seorang wanita berusia 25 tahun , Gunja Devi didakwa telah dikurung dalam bilik air selama tiga tahun oleh suami dan mertuanya kerana tidak memenuhi permintaan mas kahwin mereka.

Mangsa berjaya diselamatkan oleh polis di sebuah rumah di kampung Rambagh, kira-kira 140km timur laut Patna di Bihar, India Utara, pada hari Jumaat lalu.

Wanita tersebut ditemui dengan rambut dan kuku yang tidak terurus, dan dalam pakaian koyak, lapor laman Nanban2u.com (Malaysia Namban).

Wanita itu juga dilaporkan mengalami kesukaran untuk membuka matanya dalam cahaya matahari kerana telah hidup di bilik mandi yang gelap selama tiga tahun.

Dilaporkan bahawa wanita itu berasal dari kampung Patsan di daerah Darbhanga dan telah berkahwin dengan Prabhat Kumar Singh pada tahun 2010. 

Namun, tidak lama selepas perkahwinan itu, suaminya dan mertuanya didakwa mula mendera beliau disamping menuntut mas kahwin yang lebih.

Penderaan bertambah teruk apabila permintaan mas kahwin tidak dipenuhi dan semakin memuncak apabila dia melahirkan seorang anak perempuan dan bukannya seorang anak lelaki.

Dia tidak dibenarkan untuk melihat ibu bapanya. Apabila saudara-mara wanita tersebut mahu berjumpa dengannya, mereka telah dihalau dari situ.

Dia juga telah dihalang daripada berinteraksi dengan sesiapa sahaja di luar.

Wanita itu diselamatkan selepas bapanya Shyam Sundar Singh mengadu kepada polis Darbhanga.

Polis telah memfailkan kes terhadap suami dan kedua mertua wanita tersebut. 

Kini, wanita tersebut kini berada di bawah jagaan keluarganya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com