Kekasih Qi Razali Akui Lebih Serasi, Selesa Bersama Sharnaaz

Pelakon jelita Nelydia Senrose berkata dia lebih serasi dan senang bersama dengan pelakon  kontroversi, Sharnaaz Ahmad, walaupun secara realitinya dia bercinta dengan Qi Razali.

Kenyataan itu diberitahu sendiri oleh Nelydia yang mengakui dia lebih selesa bila bersama Sharnaaz tetapi hanya dalam dunia lakonan semata-mata kerana rata-rata peminat mereka lebih gemar melihat Nelydia berdampingan dengan Sharnaaz di kaca tv.

"Tak dinafikan saya lihat ada keserasian antara kami di dalam skrin. Dia jenis yang suka mengkaji dan menyelidik karakter. Saya sendiri nampak dia bekerja keras dan mahukan yang terbaik dalam cerita yang dilakonkan,” kata Nelydia.

Tambah Nelydia, dia amat menghormati dan kagum dengan cara kerja yang ditunjukkan Sharnaaz yang sering berbincang terlebih dahulu, serta sangat fokus dan komited dalam membawa watak yang diberikan walaupun dia seorang yang suka bergurau jika di belakang kamera.

"Selalunya, kami akan berbincang mengenai watak masing-masing dan tak sangka di skrin nampak hidup. Dia juga sangat fokus dan komited terhadap kerjanya."

"Sesuatu yang saya perhatikan, dia boleh bergurau dan mengusik di belakang kamera. Tapi kalau depan kamera dia seakan meresap roh karakter yang ingin dibawakan," tambah Nelydia.

Selain Sharnaaz, Nelydia memberitahu, beliau juga senang berlakon dengan Amar Asyraf ketika pertama kali berlakon drama "Hingga Hujung Nyawa" suatu ketika dulu.

Selepas drama "Bukan Kerana Aku Tak Cinta" yang disiarkan di Astro mencipta sensasi, Nelydia dan Sharnaaz akan muncul pula dalam drama 14 episod berjudul "Setitis Kasih Damia" menerusi slot Ratu di TV9 tidak lama lagi.

Apabila diajukan soalan mengenai kisah cintanya, Nelydia belum berani bercakap mengenai kesudahan cinta mereka biarpun kini kian terbuka untuk kearah itu.

"Kalau ada ura-ura ke arah itu (berkahwin), saya pastinya akan berkongsi benda baik ini. Cuma masing-masing sekarang mahu fokus dengan kerja yang dilakukan," katanya ringkas.

Seperti kebanyakan artis lain yang menceburi perniagaan, Nelydia dan kakaknya, Uqasha Senrose juga sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan produk kecantikan. Mereka kini tampil dengan produk kolagen dipanggil Secretofsenrose.- NorhayatiShaharun/KedahNews.com