"Kelantan Mampu Bertahan Tanpa Pengaruh Nik Aziz" - Ahmad Yakob


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membidas amaran Suhaizan Kaiat dengan menegaskan pada Ketua Pemuda PAS itu bahawa Kerajaan PAS di Kelantan mampu bertahan meskipun tanpa pengaruh bekas Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Katanya, PAS Kelantan masih mampu mengekalkan rekod kemenangan yang besar di negeri Serambi Mekah itu dan yakin bahawa parti itu tidak berhadapan sebarang masalah yang didakwa Ketua Pemuda PAS yang teruk dihentam pada Muktamar Pemuda PAS ke-60 kali ini.

"Bagi kita di Kelantan, kita meneruskan agenda yang telah pun dipersetujui bersama. Kita hanya meneruskan program pembangunan bersama Islam.

"Kita hanya memperkasakan dengan merakyatkan semula program yang dibuat selama ini. Tidak ada masalah, PAS tak akan terkesan," katanya kepada pemberita selepas majlis penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-5, semalam. 

Suhaizan sebelum ini memberi amaran dihadapan para penyokong parti bahawa kerajaan PAS Kelantan bakal runtuh sekiranya pasti itu terus mengharapkan pengaruh Nik Aziz dan gagal meningkatkan prestasi pentadbiran serta menguruskan masalah dalaman yang sedang berlaku.

Dalam nada sinis, Ahmad mendakwa Suhaizan membuat kenyataan mengenai politik Kelantan tanpa mengetahui situasi sebenar keadaan selok-belok perkembangan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Suhaizan tidak terlibat secara langsung dengan pentadbiran kita di Kelantan. Mungkin itu pandangan beliau," bidas Menteri Besar Kelantan itu yang dipetik dari Mstar.

Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Ahmad sedang diuji dengan Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor apabila Adunnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang menewaskan calon PKR pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu telah meninggal dunia baru-baru ini. -KedahNews.com