Chef selebriti Datuk Mohd Redzuawan
Ismail atau Chef Wan mendedahkan dia telah menyekat 10 pengikut laman
sosial Instagram miliknya sehari yang mengambil kesempatan menggunakan
platform tersebut sebagai tempat berniaga.
Chef Wan, 56, berkata ia berikutan komen berunsur iklan dan tidak
bersesuaian itu telah menganggu privasinya yang mahu berkomunikasi
dengan pengikutnya.
"Setiap hari saya terpaksa mengenal pasti dan menyekat peniaga yang
menggunakan laman Instagram ini untuk tujuan berniaga. Lebih-lebih lagi
akaun yang tidak mendedahkan identiti mereka yang cuba berselindung di
sebalik dunia perniagaan masing-masing.
"Saya berbuat demikian memandangkan ia semakin menjadi-jadi dan
menyukarkan saya untuk membaca komen-komen pengikut yang benar-benar
jujur.
"Mereka (peniaga) sepatutnya menghormati privasi orang lain dan bukannya
sesuka hati menyemakkan laman sosial orang lain dengan pelbagai iklan,"
katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Ketika ini Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya iaitu @Chefwan58 mempunyai lebih 67,000 pengikut.
Terdahulu Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya telah menengur
segelintir pengikut laman berkenan yang menjadikan akaun miliknya untuk
memuat naik status perniagaan masing-masing.
Perkara itu menyebabkan rasa kurang senang Chef Wan yang terpaksa
menyekat pengikut-pengikut berkenaan agar mereka tidak berterusan
melakukan perbuatan tersebut.
Sementara itu, Chef Wan berkata, dia terpaksa bersikap jujur dan
bercakap secara terus terang agar perkara ini menjadi pengajaran kepada
pengikut lain.
"Saya tahu, apabila saya bersuara seperti ini tentu ramai yang tidak suka tetapi ini kebenarannya.
"Sejak akhir-akhir ini saya melihat media sosial lebih banyak memberi
impak negatif sedangkan ia boleh menjadi satu perkara positif dalam
memberikan inspirasi kepada orang lain.
"Kebanyakannya media sosial menjadikan manusia membuang masa, suka
menjaga tepi kain orang, bergosip, buruk sangka dan lebih teruk lagi
menyebarkan fitnah sana sini," ujarnya.
Bagaimanapun, kata Chef Wan, dia tidak akan menyahaktifkan akaun
Instagram miliknya hanya kerana perkara itu kerana dia percaya masih
lagi ada pihak yang menghargai setiap foto dan status yang dimuat naik
di laman sosial berkenaan. -mStar