Keputusan #PRKPengkalanKubor: "PAS Tak Menang, BN Tak Kalah"!

TUMPAT - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 2,635 undi.

Calonnya, Mat Razi Mat Ail, mendapat 9,991 undi, berbanding calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang memperolehi 7,326 undi.

Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 38  undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang dengan majoriti 1,736.Pengumuman keputusan rasmi dilakukan oleh Pegawai Pengurus PRK Pengkalan Kubor Mohd Sobri Ramli di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Biji Wangsa di sini, kira-kira pukul 9 malam Khamis.

Selain Mat Razi, hadir sama ketika pengumuman keputusan adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pimpinan tertinggi Umno dan BN.

Mat Razi, 48, merupakan pengasas sekolah pondok di Simpangan dan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat serta Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat.

Dengan kemenangan ini, beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, yang membawa kecemerlangan BN dan kemajuan di DUN berkenaan.Z

Noor Zahidi menjadi wakil rakyat di DUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 23,929 pengundi layak membuang undi di DUN tersebut.

SPR membuka 11 pusat mengundi dengan 45 saluran mengundi membabitkan 11 buah sekolah untuk proses pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sehingga proses pengundian ditutup, seramai 73 peratus pengundi telah keluar mengundi.Seramai 104 daripada 109 pengundi awal telah mengundi awal pada 21 September lalu. -Mstar