DUA perkara penting yang
diingatkan junjungan Nabi SAW ialah menjaga serta memelihara lidah dan tingkah
laku. Lidah termasuk nikmat Allah yang sangat besar kerana kebaikan
diucapkannya akan melahirkan manfaat, yang buruk mendatangkan kesan
berpanjangan.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Pesanan itu adalah manifestasi
pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengucapkan hal yang buruk dan menyakiti
hati saudara seagama kerana bertutur sembarangan tanpa berfikir kesannya akan
membawa kepada permusuhan, kekacauan bahkan boleh menjurus kepada pertumpahan
darah.
Rasulullah SAW berpesan supaya
menjaga lidah dan tingkah laku supaya tidak mengganggu serta melampaui batas
atau menyentuh hak orang lain. Sabda Baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu
berlebih-lebihan dalam beragama.” (Hadis riwayat Ahmad)
Pada saat pengaruh kehidupan
bersalut kebendaan, didapati manusia semakin boros mengeluarkan kata-kata
sehingga ada yang terlupa mempertahankan sifat santun dan adab dalam
menuturkannya hingga menyakitkan hati pendengarnya.
Harus diakui manusia memang
berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang
dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman
untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.
Firman Allah yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)
Debat nabi jelas beretika dan
halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh
mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat
sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari
pengaruh dan kemenangan.
Sedangkan debat yang dicadangkan
adalah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan
lawan, pelbagai kata kasar dan nista terkeluar. Keburukan demi keburukan orang
didedah dan diaibkan melalui kata-kata.
Cucunda Rasulullah SAW, Saidina
Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu,
boleh jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
“Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)
Apabila seseorang memahami dan
mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan
dibalas maka, dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan
mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.
Justeru, jangan biarkan lidah itu
lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal
gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah
amarah dan dendam bersalut nafsu semata-mata. Bahaya lidah sebenarnya amat bisa
dan tajam.
Rasulullah SAW pernah
mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan
buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:
“Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Akhir-akhir ini perkataan
melaknat dan mengutuk sering menjadi mainan sesetengah individu atau kumpulan
dalam masyarakat. Ucapan seperti itu hanya mengundang kemarahan dan perkara itu
amat disenangi iblis.
Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah, Rasulullullah SAW ada menceritakan suatu kisah: “Pada zaman Bani
Israil dulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap berbeza. Lelaki
pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali
ahli ibadah melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya itu untuk
berhenti daripada perbuatan dosanya.
Suatu ketika, ahli ibadah itu
berkata lagi: “Berhentilah daripada perbuatan dosa. Ahli maksiat pun menjawab:
Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku.
Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan? Ahli
ibadah membalas: Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu
tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.
Selepas kedua-dua ahli ibadah dan
ahli maksiat itu meninggal dunia, Allah menghakimi kedua-dua mereka di
hadapan-Nya. Allah menyoal ahli ibadah: Adakah kamu lebih mengetahui
daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam
kekuasaan-Ku?
Kemudian, Allah berfirman kepada
ahli maksiat: Masuklah kamu ke dalam syurga Berkat rahmat-Ku. Sementara kepada
ahli ibadah dikatakan: Masukkan orang ini ke dalam neraka.”
Sesungguhnya Allah menghukum ahli
ibadah kerana dia sudah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang
masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum mutlak milik Allah, bukan
sekali-kali hak milik manusia yang tidak berkuasa atas makhluk lain.
Sumber : Berita Harian
Sumber : Berita Harian