Kertas UPSR Bocor: Subjek Sains Terpaksa Ditangguh

PETALING JAYA - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan ekoran terdapat maklumat kertas peperiksaan bocor.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Dr Na'imah Ishak menjelaskan bahawa berdasarkan siasatan awal pihaknya, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut mula tersebar di media sosial.

Sehubungan kebocoran itu, tarikh baharu bagi peperiksaan subjek berkenaan ditetapkan pada 30 September ini, tegasnya.

"Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Sains UPSR 2014 yang dijadualkan berlangsung pada 11 September (Khamis) didapati bocor.

"Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya menerusi kenyataan media, semalam.-KedahNews.com