Ubat tahan sakit juga dikenali sebagai analgesik. Secara umumnya ada
dua jenis analgesik iaitu narkotik seperti kodein dan morfin, manakala
ubat bukan narkotik seperti paracetamol dan ubat antiradang bukan
steroid (NSAID).
Ubat analgesik boleh didapati dalam pelbagai formulasi seperti
tablet, sirup, suntikan, salap, jel dan tampalan. Pemilihan analgesik
bergantung kepada tahap kesakitan, umur, status kesihatan dan cara
kehidupan pesakit.
Paracetamol dan sesetengah NSAID dikategorikan sebagai kumpulan C dan
boleh didapati di kaunter farmasi tanpa preskripsi, manakala analgesik
selain dari kumpulan itu boleh didapati hanya dengan preskripsi doktor.
Paracetamol seperti Panadol dan Uphamol adalah analgesik paling
popular dalam kalangan umum. Selain sebagai ubat tahan sakit, ia boleh
digunakan untuk merawat demam.
RAWATAN pemampatan ais.
Pelbagai jenis ubat tahan sakit ada di pasaran. Walaupun paracetamol
dianggap ubat yang selamat digunakan, ia boleh meningkatkan risiko
kerosakan hati jika diguna dalam jangka panjang dan dapat dikenal pasti
melalui gejala seperti mata dan kulit kekuningan, kerap merasa loya dan
muntah, sakit perut, urin berwarna gelap dan kepenatan melampau.
NSAID pula biasa digunakan dalam rawatan keradangan akibat terseliuh dan
sakit sendi (arthritis), kesakitan ketika haid dan merawat demam.
Contoh ubat NSAID ialah mefenamic acid, ibuprofen, aspirin dan
diclofenac.
Kesan jangka panjang pengambilan ubat NSAID termasuk peningkatan
risiko kerosakan buah pinggang, pendarahan, terutama jika diambil
bersama ubat cair darah warfarin dan ulser perut.
Antara cara mengurangkan kesan jangka panjang ubat-ubatan analgesik ialah seperti berikut:
• Mengambil analgesik pada masa betul dan dengan dos betul.
• Tidak mengambil analgesik secara berterusan tanpa nasihat doktor.
• Mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil
ubat-ubatan lain bersama analgesik kerana sesetengah analgesik boleh
berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diambil.
• Tidak mengambil NSAID bersama alkohol kerana dapat meningkatkan
risiko ulser perut. Paracetamol juga boleh meningkatkan risiko kerosakan
hati jika diambil oleh pengguna alkohol kronik.
• Mengambil ubat-ubatan analgesik selepas makan untuk mengurangkan risiko ulser perut.
• Digalak menggunakan analgesik dalam bentuk salap kerana kurang memberi kesan sampingan berbanding analgesik dalam bentuk oral.
Selain analgesik, kesakitan boleh dirawat dengan cara lain seperti
rawatan komplimentari dan rawatan psikologikal. Rawatan komplimentari
termasuk fisioterapi, akupuntur, urut dan pemampatan ais (ice compress),
manakala rawatan psikologikal membabitkan kaunseling, sokongan dan
galakan rakan.
Jika masih keliru atau ada pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan,
orang awam boleh menghubungi perkhidmatan Pusat Panggilan Farmasi
Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) di talian 1800 88
6722. Pegawai Farmasi bertugas akan menjawab pertanyaan anda.
Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan
Sumber: Mstar