Kesatuan Guru Ikrar Teguh Di Belakang Muhyiddin

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) menegaskan bahawa mereka berdiri teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan untuk menyelesaikan isu tersebut dan memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Sebelum itu, Muhyiddin menganggap insiden kebocoran kertas soalan UPSR pada tahun ini adalah sesuatu yang amat memalukan ketika sistem pendidikan diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan isu kebocoran soalan kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai satu perkara memalukan di sebalik negara dilihat mempunyai sistem pendidikan antara terbaik di dunia.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan kesal perkara seperti itu masih berlaku walaupun sistem pendidikan yang teratur telah diwujudkan oleh kementerian sejak sekian lama.

"Ini memang sesuatu yang boleh saya katakan memalukan, perkara seperti itu masih berlaku,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) ke-20 semalam.

Rabu lepas, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguhkan berikutan kebocoran kertas peperiksaan dikesan sehari sebelum itu.

Keesokannya, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata, kertas UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor, dikesan setelah pelajar menduduki kertas tersebut dan kerajaan menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu. -Bernama