Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof menafikan menandatangan kenyataan Wanita Pakatan Rakyat (PR) yang menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu.
Zailah berkata, dia juga masih belum sempat memperhalusi ayat-ayat dan maksud yang terkandung dalam kenyataan itu.
"Kenyataan semalam disebar tanpa sempat saya perhalusi dan tandatangani serta Dewan Harian Muslimat turut memutuskan untuk menangguhkan kenyataan itu kerana membawa maksud yang berbeza," katanya yang dipetik dari Harakah Daily.
Zaliah akui memang ada menyatakan sokongannya terhadap Dr Wan Azizah, tetapi itu berdasarkan keputusan PAS sebelum ini yang mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada 17 Ogos untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.
Zailah yang kesal dengan penyebaran kenyataan itu turut menyelar pimpinan Wanita PR yang bertindak menyebarkan kenyataan tersebut tanpa tandatangannya.
"Saya tidak mahu berbalah. Hanya Allah yang mengetahui isi hati saya. 'Wala' kami kepada keputusan PAS Pusat sahaja," katanya.
Semalam Wanita PR menyiarkan satu kenyataan bersama yang menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh tiga pemimpin utama Wanita PR iaitu Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita DAP Chong Eng dan Siti Zailah.
"Kami bersama-sama ingin mengesahkan dan mengukuhkan pendirian kami bahawa Dr Wan Azizah sepatutnya menjadi menteri besar Selangor.
"Ya, dia isteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, orang yang paling dikehendaki oleh kerajaan. (Tetapi) dia juga seorang pemimpin yang bersih, berani, bertanggungjawab dan bebas rasuah yang berkongsi visi yang sama seperti rakyat Malaysia yang berpatriotik," kata kenyataan itu lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com