Ketua Polis Kulim Isytihar Perang Dadah

SIAPA sangka dari konstabel polis biasa, kini beliau berjaya menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Kulim dengan berpangkat Superitendan.

Itulah kisah Superintendan Abdullah Arshad yang dilahirkan pada 16 Mei 1957 di sebuah perkampungan di Mersing, Johor.

Beliau merupakan anak ketiga dari 12 beradik dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Semaloi, Endau, Johor.

Setelah tamat sekolah rendah, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Ungku Husin di Endau sehingga tingkatan tiga sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing sehingga tingkatan lima.

Pada 16 Mei 1975, beliau menyertai pasukan polis dan menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Setelah tamat latihan, beliau ditugaskan ke Jerantut, Pahang pada 1976 hingga 1978 dan menjalankan tugas am, kemudian pada 1978, beliau ditukarkan ke Kuantan, Pahang.

Di situ timbul keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dan berkat kesabaran dan ketekunannya menelaah pelajaran, beliau lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang.

"Saya kemudiannya membuat permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan Inspektor ketika itu. Pada 20 Mei 1980, permohonan saya diluluskan dan mula menjalani latihan di Pulapol Jalan Semarak.

Setelah tamat latihan, saya ditugaskan ke Raub, Pahang dan menjawat jawatan Komandan Unit Kawalan Kawasan, Teras sebelum diserapkan sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Kongsi Gelap dan Dadah di daerah Raub pada penghujung 1990.

"Setelah bertugas beberapa tahun, saya ditukarkan ke Perak dan menjalankan tugas sebagai Inspektor kawasan Pusing,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, pada 1997, beliau dinaikkan pangkat Asisten Superintendan dan bertugas di Pulapol sebagai pensyarah undang-undang sehingga 1998 dan beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Diploma Sumber Manusia.

"Setelah tamat pengajian, saya ditugaskan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Bahagian Pentadbiran pada 2004. Pada 2005 hingga 2006, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Diploma Sains Kepolisan.

“Pada 2007 saya ditukarkan ke Tapah, Perak dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah sehingga 14 Jun 2014. Pada 15 Jun tahun yang sama, saya ditugaskan menjadi Ketua Polis Daerah Kulim sehingga kini,” katanya.

Abdullah berkata, sepanjang berkhidmat bersama polis, terlalu banyak kenangan yang dilaluinya.

Katanya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah ketika baru melaporkan diri sebagai anggota polis pada 1977 di Jerantut, Pahang di mana beliau terlibat dalam satu operasi di Batu Balai.

“Ketika itu saya bersama seorang rakan sedang makan di sebuah kedai berhampiran dengan IPD Jerantut. Kami terdengar bunyi siren dari IPD dan bergegas ke sana. Apabila tiba di sana, saya bersama lima anggota lain dimaklumkan berlaku kejadian berbalas tembakan antara polis dan pengganas komunis dalam ladang getah di Batu Balai.

Kami mengambil senjata dan masuk ke dalam kenderaan polis sebelum bergegas ke tempat kejadian. Operasi ketika itu diketuai oleh Inspektor Mustafa Ali.

"Tiba-tiba pegawai berteriak down dan kami semua meniarap di atas tanah mencari tempat perlindungan.

"Setelah selesai, Inspektor Mustafa Ali memanggil semua enam nama anggota terlibat bagaimanapun seorang anggota tidak menyahut. Kami kemudiannya cuba mencari anggota terlibat dan mendapati dia tercedera.

Ketika sedang membuat pemeriksaan di tempat kejadian, seorang pengganas komunis datang ke arah kami dan berkata tolong jangan tembak saya. Kami kemudiannya menahan lelaki itu manakala seorang pengganas komunis ditemui mati oleh anggota lain.

Baju saya ketika itu berlumuran darah bagaimanapun tetap membawa anggota komunis ditahan dan maut ke Balai Polis Batu Balai manakala anggota polis yang tercedera dibawa ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, sebagai Ketua Polis Daerah Kulim, beliau mahu masyarakat memandang polis sebagai rakan kerana dengan cara ini hubungan antara penduduk dan polis lebih erat.

"Saya akan pastikan kadar jenayah di Kulim dapat dikurangkan ke tahap minimum bagi memastikan penduduk serta orang awam berada dalam keadaan selamat selain dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

"Saya juga nekad untuk membanteras kegiatan dadah di daerah ini kerana ia merupakan anasir utama yang merosakkan semua golongan. Saya akan terus memerangi jenayah dan dadah sehingga Kulim bebas dari semua kegiatan tidak bermoral ini," katanya. -Sinar Harian