Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas
kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempertikaikan
kredibiliti beliau menandatangani perjanjian air dengan kerajaan
Persekutuan.
Khalid berkata, wakil rakyat DAP itu sepatutnya meneliti fakta
perjanjian air tersebut sebelum membuat kenyataannya kepada media.
"Dia (Santiago) tak reti, sama macam isu dia tak reti pasal air beracun di kolam takungan.
"Sebagai golongan profesional mereka sepatutnya meneliti fakta
terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. Jika tidak kita tidak lihat
mereka sebagai pemimpin yang membantu membangunkan komuniti dan negara.
"Asyik tembak sini saja je... tak beri nilai tambah walaupun nampak
sibuk, tapi tak beri manfaat kepada rakyat, " katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan
Sultan Salahuddin Idris Shah pada Rabu.
Pada Selasa, Santiago dilaporkan mempertikaikan kesahihan tindakan
Khalid menandatangani perjanjian air dengan kerajaan Persekutuan selain
mempersoalkan kewajaran menteri besar itu memetrai perjanjian air
bernilai RM9.65 bilion.
Sebelum ini media melaporkan perjanjian air antara Khalid dan kerajaan pusat dijangka lengkap menjelang hujung minggu ini.
Santiago dipetik sebagai berkata, tandatangan ketika pertukaran
kepimpinan boleh menimbulkan persoalan mengenai moral dan kesahihan
undang-undang, khususnya selepas tiada keterbukaan dan ketelusan dalam
perjanjian tersebut sebelum ini.
Justeru, beliau mendesak kerajaan pusat supaya tidak tergesa-gesa
untuk melengkapkan perjanjian tersebut, sebaliknya menunggu hingga
menteri besar baharu dilantik.
Februari lalu, Khalid menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU)
air dengan kerajaan Persekutuan, bagaimanapun tindakan beliau
menimbulkan kecaman dan kritikan daripada partinya sendiri.
Perjanjian air itu juga didakwa menjadi punca Khalid dipecat daripada PKR dan digesa meletakkan jawatan sebagai menteri besar.
Rancangan pengambilalihan berkenaan dilakukan ekoran rungutan dan
kekhuatiran masyarakat terhadap masalah bekalan air yang melanda
Selangor.
Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian
apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan selepas Pilihan Raya Umum
pada 2008 apabila pakatan pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN)
di Selangor. -Mstar