Khalid Saran 2 Adun PAS Tolak Tawaran Exco Selangor

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad melontarkan pandangan peribadinya supaya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) agar tidak menerima jawatan Exco Kerajaan Negeri sekiranya ditawarkan.

Menurut Khalid, sekiranya kedua Adun yang digelar sebagai "broker" dan "barua" PKR itu menerima tawaran sebagai Exco Kerajaan Negeri, beliau khuatir akan timbul salah sangka di kalangan umum.

"Secara peribadi saya rasa lebih baik tak terima kerana ia akan menimbulkan macam-macam salah faham," katanya mengulas mengenai barisan Exco dari PAS di Selangor.

Kata Khalid, beliau yakin Saari dan Hasnul cukup bijak untuk memahami situasi yang berlaku dan menyedari kesan yang bakal ditercetus sekiranya mereka menerima jawatan tersebut.

"Saya rasa kedua-dua mereka pun mamahami dan mereka pun nak buktikan mereka beri sokongan itu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Saya yakin jika ditawarkan oleh Azmin sekali pun, mereka cukup pintar untuk mamahami bahawa implikasinya," kata Khalid memberi pandangannya.

Jelas Khalid, sekiranya ditawarkan dan mereka menerima tawaran itu, beliau takut sekiranya umum menyangka tawaran tersebut berdasarkan sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan bukan atas kebolehan atau kelayakan mereka terhadap jawatan itu.

"Kalau mereka dicadangkan sekali pun dan mereka terima, kita khuatir timbul salah faham dan salah tafsiran bahawa seolah-olah jawatan itu diberi bukan atas dasar kemampuan dan kebolehan tetapi atas dasar mereka menyokong (Dr Wan Azizah).

"Saya rasa mereka tak akan dilantik kerana itu tak akan timbulkan keadaan yang baik," ujar Khalid yang dipetik dari Mstar, semalam.

Mengenai perkembangan terkini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menunggu laporan rasmi dari PAS Selangor berkenaan Shaari dan Hasnul yang tidak patuh pada arahan parti dalam sokongan mereka memilih Menteri Besar sebelum ini.

Abdul Hadi dalam ucapannya di Muktamar PAS ke-60 di Johor baru-baru ini melabelkan kedua Adun tersebut sebagai "broker" dan "barua" PKR ekoran tindakan keduanya yang lebih taat pada parti lain berbanding jemaah sendiri. -KedahNews.com