KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd. berharap kerajaan akan
menggubal 'Akta MAS' awal tahun depan sebelum MAS NewCo ditubuhkan pada
pertengahan 2015.
Berdasarkan pelan pemulihan MAS bernilai RM6 bilion itu, syarikat
akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia menjelang hujung tahun dan
syarikat baharu (Newco) akan diwujudkan bagi meneruskan perniagaan
syarikat.
Bagi mempermudah penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu
secara menyeluruh dan seiring perkembangan semasa, kerajaan akan
membentangkan satu rang undang-undang baharu di Parlimen, dikenali Akta
MAS.
Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar berkata, akta baharu itu sangat
penting sebagai akta yang membolehkan dan usulnya dijangka dibawa oleh
perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober.
"Akta ini perlu disegerakan namun kami boleh menunggu sehingga tahun
baharu bermula," katanya kepada pemberita di luar Forum Megatrends
Khazanah 2014, di sini hari ini.
Beliau berkata Khazanah Nasional sudah memulakan usaha untuk menggubal Akta MAS dengan Pejabat Peguam Negara.
Azman berkata sebulan selepas pelan pemulihan MAS itu diumum, banyak
sesi komunikasi antara Khazanah Nasional, MAS dan kerajaan diadakan.
Sementara itu, Azman hari ini turut mengesahkan bahawa Khazanah
Nasional akan menyenaraikan Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd di
Bursa Malaysia, namun perkara tersebut tidak akan dibuat pada tahun ini.
"Syarikat taman tema itu mencatat prestasi baik dan kita tidak mahu tergesa-gesa menyenaraikannya.
"Ini satu keputusan yang akan dibuat secara bersama oleh lembaga pengarah Khazanah dan Themed Attractions," katanya.- BERNAMA